Malaysia Dateline

Mahathir perjelas gambar pertemuan dengan Presiden Umno, Pas

Gambar yang tular di media sosial antara Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden parti-parti politik adalah pertemuan untuk berbincang keputusan parti susulan cadangan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 23 Februari lalu.

Gambar berkenaan dikatakan telah diambil ketika perjumpaan di kediaman bekas Perdana Menteri itu pada hari berlakunya Langkah Sheraton.

Menurutnya, pertemuan di kediamannya itu diadakan selepas Bersatu selesai mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi ketika itu.

“Mesyuarat ini diadakan mengikut program saya iaitu selepas kita mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), kita berjumpa untuk bincang keputusan parti.

“Itulah sebabnya kita berjumpa (kerana) Majlis tertinggi ketika itu ada cadangan supaya Bersatu keluar daripada PH.

“Saya telah menasihat supaya kita ambil masa memikirkan tentang perkara yang begitu berat dan serius seperti itu,” katanya dalam satu video yang disiarkan di laman Facebook Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, tular sekeping gambar yang memaparkan barisan Presiden parti-parti politik hadir berkumpul di kediaman Ahli Parlimen Langkawi itu.

Dalam gambar itu kelihatan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Parti Warisan Sabah (Warisan), Mohd Shafie Apdal; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Turut kelihatan, Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Tun Mahathir menjelaskan, ketika itu kesemua mereka bersetuju untuk memberi masa kepada beliau bahkan Muhyiddin sendiri berkata akan memberinya masa selama satu minggu untuk membuat keputusan.

“Namun demikian ternampak bahawa mereka sudah pun merancang untuk melaksanakan keluar dari PH,” katanya yang merujuk kepada satu audio yang memberitahu mesyuarat supaya memberi mandat kepada Dr Mahathir untuk memutuskan sama ada akan kekal atau meninggalkan PH.

Video itu dikatakan menjadi bukti bahawa Bersatu belum lagi membuat keputusan muktamad sama ada untuk keluar PH pada 23 Februari lalu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu, Radzi Jidin mendakwa keputusan telah dibuat dalam mesyuarat tertinggi dan Mahathir menyokong keputusan untuk meninggalkan PH sebelum akhirnya merubah fikiran.

Walau bagaimanapun, Mahathir dalam videonya hari ini menjelaskan, sememangnya ada beberapa kali Muhyiddin datang bertemu memintanya untuk bersetuju keluar daripada PH.

Namun kata Mahathir, beliau tidak menolak permintaan tersebut tetapi memberitahu akan berfikir berkenaan perkara tersebut.

“Tetapi saya tidak bersetuju untuk keluar kerana pada masa itu saya berpendapat bahawa saya adalah daripada parti PH yang menang dengan perjuangan untuk menjatuhkan Najib Razak,” katanya lagi.