Malaysia Dateline

Mahathir pertahan lantikan Mustapa

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan pelantikan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Peneraju Agenda Bumiputra (Teraju).

Menurutnya, kerajaan memerlukan individu berpengalaman seperti Ahli Parlimen Jeli yang menyertai Bersatu pada Oktober 2018 itu.

“Dia (Mustapa) ada sedikit pengalaman. Kita ada sangat sedikit orang berpengalaman dalam kerajaan dan juga di luar (kerajaan).

“Jadi, kita perlu ada orang yang ada pengalaman,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Lumpur, hari ini.

Teraju merupakan agensi kerajaan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang bertanggungjawab dalam penyertaan ekonomi golongan Bumiputera.