Mahathir pertegas hanya Tommy calon Peguam Negara

Hanya nama Tommy Thomas yang akan dikemukakan bagi mengisi jawatan Peguam Negara walaupun Yang di-Pertuan Agong dikatakan tidak memperkenan cadangan tersebut.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu dan yakin cadangan tersebut dibuat mengikut peruntukan undang-undang negara.

Menurutnya, jalan penyelesaian bagi mengatasi kemelut Peguam Negara itu akan dicari secepat mungkin mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Kita buat keputusan sesuatu mengikut undang-undang dan Pelembagaan kita, Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai penasihat. Kita berpegang kepada prinsip itu.

“Usaha sedang dijalankan untuk mengatasi masalah ini dan tidak ada manfaat bagi saya membuat penjelasan sebelum usaha dijalankan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pengerusi PH Kedah di Seri Mentaloon, Alor Setar hari ini.

Ditanya tentang tanggapan bahawa Tommy tidak sesuai menjadi Peguam Negara ekoran hubungannya sebelum ini dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Dr Mahathir menjawab, peguam berkenaan juga pernah menjalankan tugas bagi ramai orang.

“Lim Guan Eng duduk dalam kerajaan dan menjadi Menteri Kewangan, kenapa pula orang ini (Tommy) tidak boleh kalau dia berbaik dengan Guan Eng.

“Dia (Tommy) adalah peguam untuk semua orang dan peguam mengambil kes yang memberikan mereka pendapatan,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan Sultan Muhammad V belum memperkenan pencalonan Tommy yang akan menggantikan Tan Sri Apandi Ali.

Kerajaan PH memutuskan untuk tidak meneruskan perkhidmatan Apandi sebagai Peguam Negara ekoran pembabitannya dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika pentadbiran BN sebelum ini.

8.8
OVERALL SCORE
: 7.0
3 user votes x 9.3