Malaysia Dateline

Mahathir pertegas tangkapan LTTE ikut undang-undang

Perdana Menteri menegaskan tindakan polis menangkap 12 individu bagi membantu siasatan berkaitan kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dilakukan mengikut peruntukan undang-undang.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tangkapan termasuk dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu juga dilakukan tanpa campur tangan pentadbirannya.

“Pihak kerajaan ingin tahu apa sebab perkara ini berlaku. Kita tidak suka guna kuasa untuk lemahkan mana-mana pihak.

“Ini bukan saya tangkap orang, bukan Muhyiddin (Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin) tangkap orang, (tapi) polis yang tangkap dan benda yang dibuat pegawai mereka itu ikut undang-undang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat mengenai pembangunan Langkawi hari ini.

Sejak 10 Oktober lalu, jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan LTTE ialah 12 orang dengan penahanan terbaharu lima individu pada hari ini termasuk seorang guru.

Mereka disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.

Pada 10 Oktober lalu, tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

LTTE yang diasaskan V Prabhakaran pada 1975 mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara negara pulau Sri Lanka apabila golongan majoriti Sinhala dikatakan menindas masyarakat Tamil, iaitu kumpulan minoriti.