Mahathir PM teladan, optimis tidak mungkir janji serah jawatan kepada Anwar

Mahathir PM teladan, optimis tidak mungkir janji serah jawatan kepada Anwar

Sebagai negarawan yang telah berjaya melakar sejarah memerintah negara sebagai Perdana Menteri (PM) dalam tempoh yang paling lama, sudah pasti Tun Mahathir boleh dipercayai apabila beliau berulang-ulang kali menzahirkan akan menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah cukup tempoh dua tahun.

Semua pihak harus memberi ruang kepada Mahathir untuk melaksanakan perancangan beliau bagi memulihkan ekonomi negara dalam tempoh ia menerajui kepimpinan kini.

 

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman ketika ditemui di pusat khidmat beliau di Taman Bertam Indah, Kepala Batas.

Jelasnya lagi, tempoh dua tahun yang telah disepakati oleh Pakatan Harapan (PH) bagi Mahathir menjadi Perdana Menteri ke 7 sebelum ianya diserahkan kepada Anwar sebagai PM ke 8 adalah konsensus dan kesepakatan yang telah pun dicapai sebelum kemenangan pilihan raya umum (PRU) ke 14 lagi.

“Saya optimis sebagai seorang negarawan yang dihormati Mahathir akan berpegang teguh kepada janjinya untuk menyerahkan jawatan sebagai PM kepada Anwar dalam tempoh yang telah pun dipersetujui oleh PH.

“Oleh kerana itu semua pihak harus berlapang dada dan memberi ruang kepada beliau untuk melaksanakan beberapa perubahan dasar dan polisi yang akan dilakukan dalam tempoh kepimpinan yang masih ada.

“Justeru itu sokongan mesti diberikan agar semua rencana bagi membangunkan semula negara setelah gagal ditadbir dengan jayanya semasa zaman pemerintahan kerajaan terdahulu dapat direalisasikan, ” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, tidak ada mana-mana individu atau pihak yang boleh meletakkan sesiapa sahaja dikerusi tersebut setelah rakyat yakin dengan janji-janji yang telah dilaung-laungkan sejak Anwar berada dalam sel lagi.

“Kerajaan PH adalah sebuah kerajaan yang bermaruah dan mempunyai identiti tersendiri jika dibezakan dengan kerajaan Umno dan BN.

“Maka itu sebagai pimpinan tertinggi yang menerajui PH setiap kata-kata maupun janji-janji yang telah dilemparkan semasa kempen PRU dan konsensus dalam PH tidak akan dicabuli oleh mana-mana pihak atas apa jua kapasiti.

“Sehubungan itu sebagai kerajaan yang memerintah kini, kita harus buktikan kepada rakyat bahawa segala kesepakatan dan persetujuan untuk Anwar dinobatkan sebagai PM ke-8 dalam tempoh dua tahun yang telah didendangkan saban kali berada diatas pentas ceramah sehingga membawa kemenangan besar dapat menerajui Putrajaya bukan satu omongan kosong PH, ” tambahnya lagi.