Mahathir pun mereka label khadam DAP, kata Mujahid

Mahathir pun mereka label khadam DAP, kata Mujahid

Dr Mujahid merasmikan Mesyuarat Tahunan AMANAH kawasan Kubang Kerian.

Semata-mata untuk memburukkan pemimpin-pemimpin negara dalam kerajaan hari ini, pihak tertentu melabelkan khadam DAP kepada orang Melayu yang menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Bagi mereka ini, Tun Mahathir pun dianggap khadam DAP,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa di majlis perasmian Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Kubang Kerian pagi tadi.

Mujahid menyeru rakyat Malaysia supaya menolak politik perkauman sempit yang cuba dimainkan pembangkang kebelakangan ini.

“Percubaan untuk mengapi-apikan kebencian antara kaum adalah politik lapuk yang kita telah bersetuju untuk hapuskan.

“Kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab untuk membina masa depan negara dan bukannya membiarkan perangkap permusuhan diperalatkan oleh golongan yang kecewa kerana ditolak rakyat dalam pilihan raya,” katanya.

Parti AMANAH menurut beliau telah menetapkan pegangan yang jelas dalam menegakkan Islam iaitu mempromosikan konsep Rahmatan lil ‘Aalamin.

“Gagasan Negara Rahmah telah dipersetujui untuk dilaksanakan di seluruh negara dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri dan turut dihadiri semua menteri besar dan ketua menteri baru-baru ini.

“Insya-Allah pelancaran program ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sendiri dalam satu festival Rahmah yang akan diadakan September depan,” katanya.

Islam yang dibawa AMANAH katanya mementingkan kerjasama dengan pihak lain yang tidak memusuhi agama itu.

“Kita adalah parti yang berusaha menegakkan Islam dan tidak memandang sesiapapun dengan kehinaan dan kebencian.

“Dengan parti lama saya Pas pun saya tidak berniat menghina mereka walaupun mereka terus menerus mencerca dan menghina kita dengan pelbagai label,” katanya.

Cadangan Negara Rahmah juga menurut Mujahid kini diterima oleh Majlis Raja-Raja sebagai pegangan Islam di negara ini.

“Saya sendiri dijemput untuk mempersembahkan taklimat mengenai gagasan Negara Rahmah kepada duli-duli tuanku dan mereka kemudian meluluskan sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja,” katanya.

Dalam mesyuarat tahunan kawasan Kubang Kerian itu, Tuan Haji Fauzi Mohamad kekal dipilih sebagai ketua AMANAH kawasan, manakala Prof Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah sebagai timbalannya.