Mahathir seru ahli tidak tersasar daripada perjuangan bangsa

Mahathir seru ahli tidak tersasar daripada perjuangan bangsa

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengingatkan supaya ahlinya kembali kepada perjuangan asal dan tidak tersasar dari memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kewujudan Bersatu adalah kerana kegagalan parti terdahulu yang menyimpang dari perjuangan sebenar setelah mendapat mandat kuasa dalam mentadbir negara.

“Parti kita jangan jadi macam parti umno. Saya merayu supaya kembali kepada perjuangan asal kita. Kita tak berjuang untuk diri, kita berjuang untuk bangsa dan agama. Supaya dengan itu apabila kita berjaya, negara akan disanjung tinggi dan kita akan dapat banyak nikmat daripadanya bukan shaja diri sendiri tapi keluaga kita.

“Apabila kita lihat parti dahulu yang berjuang untuk bangsa sudah menyeleweng dan berjuang untuk kepentingan diri dan duit, maka kita rasa sudah tiba masa untuk kita lawan dengan parti itu. Untuk itu kita tubuh Bersatu.

“Kena ingat rakyat tak akan sokong untuk pejuang yang memperjuangkan diri sendiri. Kalau dalam kempen dia suruh sokong dia supaya jadi Yb, siapa nak sokong? Tapi kalau dia kata sokong lah saya supaya saya boleh berkhidmat untuk tuan, maka baru dia akan dapat nikmat,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perhimpunan Agung Khas Bersatu, di MAEPS Serdang, hari ini.

Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Setiausaha Agung, Datuk Marzuki Yahya; Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun.

Tegasnya, setiap ahli adalah penting untuk menggerakkan jentera parti, maka tidak harus ada dikalangan pemimpin yang mengenepikan ahli parti mereka yang dilihat berpotensi memperjuangkan negara.

Malah katanya, setiap dari mereka yang mempunyai potensi, berhak diberi peluang untuk menjadi pemimpin.

“Dalam pilihan raya, kita perlu tenaga dan ramai ahli untuk bantu kita berjuang untuk kemenangan parti. Tapi sekiranya kita tak banyak ahli, mereka tak dapat berusaha beri kejayaan pada kita.

“Jika kita ada pengikut yang bijak dan cekap, mereka juga berhak jadi pemimpin sebab perjuangan kita bukan untuk diri sendiri tapi untuk bangsa, agama dan tanah air.

“Sebab itu kita harus sanggup berkorban. Kalau tak sanggup berkorban sedikit pun dan berjuang semata-mata nikmat untuk diri sendiri, percayalah dalam PRU kita akan kalah,” ujarnya.