Malaysia Dateline

Mahathir, Anwar, Shafie, Hadi sah dipanggil menghadap Agong

Pengerusi Penaja Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal akan menghadap Yang Dipertuan Agong Khamis ini.

Mahathir dijadualkan menghadap jam 2.30 petang manakala Shafie jam 4 petang, kata sumber yang rapat dengan pejabat Mahathir.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menerima surat panggilan oleh Yang Dipertuan Agong untuk menghadap baginda, namun tarikhnya belum ditetapkan.

Surat kepada Hadi telah diterima pada 4 Jun lepas, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin pula mengesahkan jadual Mahathir tersebut kepada Bernama.

“Jemputan dari Yang Dipertuan Agong diterima minggu lepas,” kata Ulya sebagaimana yang dilaporkan oleh Bernama.

Sementara itu, The Vibes melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mendapat surat dari Yang Dipertuan Agong dan akan menghadap baginda pagi esok.

Sebelum ini, Straits Times Singapura melaporkan, Sultan dan Raja-raja Melayu akan bertemu dengan Yang Dipertuan Agong 16 Jun ini.

Menjelang pertemuan itu, Yang Dipertuan Agong akan bertemu dengan semua pemimpin parti politik.