Malaysia Dateline

Mahathir silap, DAP pernah dapat lebih 18 kerusi sejak 1986, kata Kit Siang

Tun Dr Mahathir Mohamad silap apabila mendakwa DAP tidak akan memperoleh lebih 18 kerusi Parlimen tanpa bantuannya yang menarik sokongan Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, DAP telah memenangi 24 kerusi Parlimen pada 1986, 20 kerusi pada 1990, 28 kerusi pada 2008 dan diikuti dengan 38 kerusi pada tahun 2013 sebelum memenangi 42 kerusi Parlimen pada 2018.

“Saya akui Mahathir telah membantu DAP memenangi 42 kerusi Parlimen pada PRU 2018.

“Tetapi untuk mengatakan bahawa DAP tidak akan memenangi lebih daripada 18 kerusi Parlimen, sama sekali tidak betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, bekas Perdana Menteri itu mendakwa, Pakatan Harapan (PH) tidak akan meraih sokongan orang Melayu pada pilihan raya akan datang sekiranya gabungan itu enggan bekerjasama dengan beliau.

Beliau berkata, penglibatannya ketika berada bersama PH semasa PRU-14 telah membantu meningkatkan sokongan orang Melayu terhadap gabungan itu.

“DAP yang tidak pernah memperoleh lebih daripada 18 kerusi, mendapat 42 kerusi kerana sokongan orang Melayu yang saya bawa,” katanya ketika wawancara bersama China Press.

Sementara itu Kit Siang menegaskan, DAP telah berpegang teguh pada lima prinsip utama mereka sepanjang 55 tahun penubuhannya dan kerana itu katanya, parti itu tidak akan bekerjasama dengan pemimpin Umno kleptokrat.

Malah katanya, sepanjang 12 tahun sejak 2008, DAP menghadapi pertempuran yang sukar untuk memenangi sokongan orang Melayu disebabkan kempen jahat yang membawa gambaran seolah-olah DAP anti Melayu dan anti Islam.

“Walaupun DAP telah digambarkan dengan berita palsu yang mendakwa kami anti-Melayu, anti-Islam dan anti Raja-raja Melayu selama lima dekad yang lalu, namun DAP komited untuk menjadi parti berbilang kaum dan tidak pernah menentang mana-mana bangsa atau sistem beraja di Malaysia,” katanya lagi.