Malaysia Dateline

Mahathir sokong bekas ahli Bersatu jadi calon bebas PRK Chini

Desas-desus calon bebas Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini merupakan penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat terbukti melalui reaksi bekas Perdana Menteri itu.

Dr Mahathir hari ini mengumumkan sokongan peribadinya kepada anak kepada bekas ADUN Bandar Pekan, Allahyarham Datuk Shamsiah Abdul Hamid tersebut.

Katanya, Tengku Zainul yang sebelum ini berjawatan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pekan adalah pilihan terbaik dalam pertandingan tiga penjuru itu pada 4 Julai depan.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berharap pemilih mengundi Tengku Zainul yang keahlian Bersatu dibatalkan ekoran tindakannya untuk bertanding.

“Parti Bersatu tidak meletakkan calon tetapi, saya sokong calon ini untuk bertanding dan saya harap penduduk Chini akan memberi kemenangan kepadanya”, kata Mahathir dalam sebuah video khas kepada pengundi Chini.

Beliau turut mengingatkan pengundi di Chini supaya tidak terperdaya dengan sebarang bentuk pemberian kerana hal tersebut akan mengundang masalah.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata, parti itu tidak akan meletakkan calon sebaliknya seluruh jentera Bersatu akan digerakkan untuk memastikan kemenangan calon dari sekutu barunya dalam Perikatan Nasional (PN), iaitu BN.

SPR menetapkan PRK DUN Chini, Pahang pada 4 Julai ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun.

PRK julung kali diadakan dalam musim pandemik Covid-19 itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, pada 7 Mei lalu dipercayai akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Allahyarham selaku calon BN menumpaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnin (1,065).