Mahathir syorkan Malaysia-Pakistan ‘bergerak’ bersama

Mahathir syorkan Malaysia-Pakistan ‘bergerak’ bersama

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyentuh tentang ‘persamaan luar biasa’ yang dikongsi antara Malaysia dan Pakistan ketika berucap pada majlis jamuan tengah hari bagi meraikan rakan sejawatnya, Imran Khan, yang melakukan lawatan ke negara ini.

Beliau berkata kedua-dua negara mewarisi masalah serupa dalam banyak perkara daripada pentadbiran terdahulu serta berkongsi wawasan untuk menghapuskan rasuah dan menangani isu ekonomi bagi memajukan negara untuk membolehan rakyat kembali menikmati kekayaan.

“Sekarang adalah masa untuk kita melangkah bersama. Saya percaya tentang pentingnya kerjasama yang berlandaskan sikap saling menghormati dan hubungan antara Malaysia dan Pakistan yang berjaya serta dinamik akan menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan kita.

“Saya gembira melihat kerajaan baharu di bawah kepimpinan Imran Khan sedang mengemudi Pakistan ke arah mencapai kemajuan dan untuk menjadi sebuah negara yang bebas daripada rasuah.

“Pembaharuan bersejarah dilaksanakan di bawah kepimpan Tuan, (Imran Khan) hingga menjadikan Pakistan lebih terbuka dan berdaya saing,” kata Dr Mahathir semasa berucap pada majlis yang berlangsung di Seri Perdana.

Imran Khan sedang melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia atas jemputan Dr Mahathir dan ini merupakan lawatan sulung beliau sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada Ogos.

Beliau tiba di sini semalam.

Dr Mahathir berkata beliau berasa bertuah dan gembira dengan lawatan Imran Khan itu. Kali terakhir perdana menteri Pakistan melawat Malaysia ialah 13 tahun lepas iaitu pada 2005 ketika Syed Yousuf Raza Gilani menyandang jawatan itu.

“Sesungguhnya, lawatan Tuan Yang Terutama ke Malaysia hari ini merupakan suatu peristiwa penting dalam hubungan Malaysia-Pakistan di mana kita menjana suatu momentum untuk menuju ke arah hubungan yang lebih dinamik dan meluas. Semoga kita berjaya mengecapi potensi bersama kita serta mewujudkan kehidupan yang lebih baik bagi rakyat kita,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata beliau juga gembira melihat hubungan persahabatan antara Malaysia dan Pakistan berterusan sejak kedua-dua negara mula menjalin hubungan diplomatik pada 1967.

“Malaysia menganggap Pakistan sebagai rakan rapat di rantau Asia Selatan dan lawatan Tuan hari ini menghidangkan peluang yang amat baik untuk kita sama-sama mengulangi komitmen kita dan mengukuhkan lagi hubungan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara.

“Saya percaya, banyak lagi yang boleh dicapai sekiranya wujudnya percayaan, persefahaman dan hubungan rapat antara pemimpin kedua-dua negara,” tegas beliau.

Merujuk kepada mesyuarat dua hala antara mereka sebelumnya, Dr Mahathir berkata mereka membincangkan banyak perkara berkaitan kerjasama dua hala serta membuat penilaian menyeluruh tentang kemajuan yang dicapai dalam bidang politik dan ekonomi.

Menurut beliau, kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara mempamerkan perkembangan positif.

“Saya percaya, banyak lagi boleh dilakukan bagi meningkatkan perdagangan dua hala antara kita. Kedua-dua negara juga perlu meningkatkan hubungan perniagaan antara sektor swasta kita,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata terdapat bidang berpotensi yang boleh dimanfaatkan untuk meraih potensi penuh daripada Perjanjian Perkongisan Ekonomi Lebih Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) yang ditandatangani pada November 2007.

“Pelaburan kita berkembang baik dan pelaburan Malaysia di Pakistan mencatat peningkatan, terutama dalam bidang telekomunikasi, tenaga, pembinaan dan perbankan. Saya menghargai peluang dan keyakinan yang Tuan Yang Terutama beri kepada beberapa syarikat Malaysia yang kini terlibat dengan pelbagai projek di Pakistan,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau juga berharap lebih banyak syarikat Malaysia akan diberi peluang untuk meningkatkan penglibatan mereka dalam ekonomi Pakistan.

“Saya juga yakin hubungan dua hala antara Malaysia dan Pakistan akan terus berkembang pada segenap peringkat, termasuk di peringkat generasi muda kita.

“Kedua-dua pihak perlu terus menganjurkan sikap saling menghormati dan saling memahami agar hubungan ini akan menjadi lebih kukuh pada tahun-tahan akan datang,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata beliau yakin lawatan Imran Khan akan mendorong wujudnya kerjasama dan pertukaran lebih erat antara kedua-dua negara, rakyat dan rantau ini.-Bernama.