Malaysia Dateline

Mahathir tanam ‘doktrin’ bencikan DAP selama 22 tahun

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Tun Dr Mahathir harus dipersalahkan kerana telah ‘mendoktrin’ Umno selama 22 tahun untuk membenci salah satu parti komponen Pakatan Harapan (PH), iaitu DAP.

Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian sebagai mengulas rasa tidak senang beberapa pihak mengenai kerjasama BN dalam Kerajaan Perpaduan yang turut disertai DAP.

“Patut marah Dr Mahathir dahulu, dia yang bawa DAP masuk dalam kerajaan PH pertama kali dulu. Patut marah pada dia.

“Dialah yang telah mendoktrin kami selama 22 tahun dan memberikan gambaran yang sangat-sangat negatif terhadap parti itu tetapi akhirnya mendakap parti itu,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam program wawancara khas di Facebook dan YouTube terbitan NRChannel TV semalam.

Menurutnya, Bersatu dan Pas yang kini kedua-duanya dalam parti komponen Perikatan Nasional (PN) juga pernah menjalin kerjasama politik secara bersama dengan DAP suatu masa dahulu dan tidak pernah bagi Umno dan BN.

Jelasnya, jaminan turut diberikan sepertimana yang tercatat dalam perlembagaan dan falsafah Umno walaupun kini bekerjasama dengan DAP sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan.

Pembentukan Kerajaan Perpaduan termeterai melalui perjanjian persefahaman kerjasama di Putrajaya yang ditandatangani pada 16 Disember lalu.

Lima gabungan politik utama terlibat iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Ahmad Zahid berkata, beliau yakin perjanjian persefahaman kerjasama yang telah ditandatangani mampu bertahan untuk tempoh jangka panjang.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata pihaknya bersetuju dengan perjanjian itu ketika perundingan kerana ia memiliki elemen mempertahankan agama Islam, hak keistimewaan Orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Apabila perjanjian itu ditandatangani oleh pelbagai pihak, perkara itu juga tidak pernah dikompromi malah dijadikan sebagai antara asas pertama kepada perjanjian itu bukan sahaja untuk waktu ini tetapi untuk jangka panjang,” katanya lanjut.

Baca juga Mudarat bekerjasama dengan PN jauh lebih bahaya berbanding PH, kata Zahid