Malaysia Dateline

Mahathir tawar diri bertanding Pengerusi Bersatu

Selepas melepaskan kedudukan sebagai Pengerusi Bersatu berkuat kuasa serta-merta pada 24 Februari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan untuk bertanding semula jawatan itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata keputusan tersebut bagi menyelamatkan Bersatu yang pada masa ini bekerjasama dengan kerajaan sedia ada yang dilabel sebagai ‘pintu belakang.

“Saya menawarkan diri saya untuk bertanding sebagai Pengerusi untuk #SelamatkanBERSATU yang kini sebahagian pemimpinnya berkerjasama dengan kleptokrat dan Umno untuk mendirikan kerajaan dari pintu belakang.

“Sertailah perjuangan kami untuk mengembalikan parti kita (Bersatu) ke jalan yang benar,” katanya hari ini dalam platform media sosial di Instagram dan Facebook.

Terdahulu, Setiausaha Bersatu, Datuk Marzuki Yahya mengesahkan pada 27 Februari lalu bahawa Mahathir menerima kembali jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.

Walau bagaimanapun, hal tersebut disanggah Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.