Mahathir teruskan operasi YKP, walaupun bantuan kerajaan dihentikan

Mahathir teruskan operasi YKP, walaupun bantuan kerajaan dihentikan

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau akan tetap bekerja di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) walaupun kerajaan memutuskan untuk menghentikan segala bentuk sumbangan termasuk berhenti membayar gaji kakitangan kerajaan yang diberi untuknya.

Menurutnya, mana-mana penyokong YKP yang berasa takut ‘rapat’ dengannya kerana bimbang diganggu, mereka boleh berhenti menyokong institut itu.

“Kami perlu berhentikan penyelidikan yang dilakukan di perpustakaan dan arkib kami dan juga (hentikan) kempen kami untuk menjadi pembunuhan orang dan kemusnahan negara-negara melalui perang suatu jenayah.

“Tetapi, tak apa. Saya hanya mahu orang ramai tahu apa sebenarnya Yayasan Kepimpinan Perdana ini,” katanya melalui catatan di blognya, seperti dilaporkan Sinar Harian

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan menghentikan segala bentuk sumbangan sama ada peruntukan kewangan, penyelenggaraan mahupun kakitangan yang diberikan kepada YKP selepas mendapati YKP disalahgunakan sebagai pusat untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan.

Sebelumnya, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun menggesa kerajaan supaya menarik balik peruntukan YKP yang diterajui Mahathir kerana bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan perdana menteri.

Dalam catatan sama, Mahathir berkata, beliau sering ke pejabat meskipun telah bersara susulan banyak pihak datang bertemunya meminta pertolongan.

“Oleh kerana saya berada di dalam bangunan ini, macam-macam jenis orang datang berjumpa dengan saya, secara bersendirian atau berkumpulan. Apabila mereka tidak berpuas hati dengan kerajaan, mereka meminta pertolongan saya. Saya tidak pernah menutup pintu saya kepada sesiapa. Sebab itu selepas bersara saya masih pergi ke pejabat seolah-olah saya masih bekerja.

Peruntukan Yayasan Kepimpinan Perdana

“Sudah tentunya ada juga orang yang datang berjumpa dengan saya di tempat-tempat lain, dalam tiga pejabat yang lain dan juga di rumah saya. Tetapi oleh kerana sekarang saya telah meletakkan jawatan dari Proton dan Petronas, Yayasan Kepimpinan Perdana biasanyalah tempat yang saya bekerja,” katanya.

Sebelumnya, beliau memberitahu serba sedikit asal usul yayasan tersebut sejak idea penubuhannya dilontarkan oleh beberapa ahli peniagaan dalam rangka memperingati 22 tahun khidmatnya sebagai perdana menteri di negara ini dan cadangan agar namanya diabadi pada bangunan itu.

“Sepanjang saya berada dalam kerajaan saya telah cuba untuk menghentikan amalan menamakan tempat-tempat awam dengan nama orang-orang yang masih hidup kecuali raja-raja. Selain itu, perlu menunggu sehingga mereka meninggal dunia sebelum nama mereka diberikan kepada tempat-tempat awam.

“Oleh kerana saya masih hidup pada masa cadangan dibuat, saya menolak cadangan itu. Sebaliknya saya juga tidak boleh mengabaikan sumbangan mereka sebelum saya terhadap pembangunan Malaysia. Maka itu saya mencadangkan agar mereka memperingati semua perdana menteri sebelumnya dan perdana menteri akan datang dengan menubuhkan sebuah institut untuk mengumpul semua dokumen yang berkaitan dengan dasar, strategi dan pelan yang dimulakan dan dilaksanakan oleh semua Perdana Menteri Malaysia.

“Oleh itu nama Yayasan Kepimpinan Perdana dipilih. Pengasas dan penaja yayasan membeli tanah, membina bangunan dan menyelenggarakannya. Kakitangan untuk arkib dan perpustakaan dan kakitangan sokongan dibayar gaji daripada dana yayasan melalui sumbangan oleh pihak penaja. Kerajaan telah menyewa ruang di yayasan dan beri saya beberapa kakitangan,” katanya.

Katanya, di Perpustakaan Yayasan dikumpulkan maklumat mengenai kerja-kerja semua Perdana Menteri Malaysia sebagai perpustakaan rujukan yang tersedia untuk semua orang yang ingin belajar kisah pembangunan Malaysia dan sumbangan Perdana Menterinya.

Selain itu, yayasan turut mengumpul dokumen, ucapan dan tulisan-tulisan para Perdana Menteri serta berkempen menjenayahkan peperangan hingga wujudnya ‘Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War’ (KLFCW).

“Kami mengadakan persidangan yang disertai oleh pencinta keamanan tempatan dan juga dari Timur Tengah, Eropah, Amerika dan tempat lain di dunia. Kami masih terus dengan kempen ini.

“Yayasan juga terlibat dalam membantu rakyat Palestin terutamanya selepas Israel menyerang Gaza. Dalam membantu negara-negara yang musnah akibat peperangan, kami telah menubuhkan Perdana Global Peace Foundation (PGPF). Kami telah melakukan kerja-kerja amal di kalangan mereka. Dana dikumpul melalui sumbangan orang ramai dan kerajaan,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)