Mahathir tetap pertahan kenyataan Dong Zong rasis

Mahathir tetap pertahan kenyataan Dong Zong rasis

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap mempertahankan kenyataannya semalam yang melabel Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sebagai rasis.

Menurutnya, Dong Zong tidak pernah berkata apa-apa tentang Malaysia meskipun negara ini berbilang kaum dan hanya membangkitkan isu berkaitan masyarakat Cina sahaja.

“Mereka tak pernah bercakap tentang Malaysia. Mereka hanya memperjuangkan satu bangsa. Malaysia adalah negara berbilang kaum, kalau lakukan sesuatu kena jaga perasaan kaum lain.

“Dong Zong tak pernah kata apa tentang Malaysia dan selalu cakap tentang pendidikan masyarakat Cina.

“Bahkan semasa saya usulkan untuk wujudkan Sekolah Wawasan untuk satukan rakyat, mereka menolak,” katanya seperti dilapor sinarharianonline..

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Kuala Lumpur International Airport (KLIA) Turns 21: A Precious Legacy di sini petang ini.

Media hari ini melaporkan Dong Zong yang menolak label rasis yang dilontarkan Dr Mahathir terhadap mereka.

“Dong Zong dan Jiao Zong berasa amat kesal atas tuduhan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 Ogos, malah menafikan dengan tegas label yang dilontarkan ke atas Dong Zong, kononnya Dong Zong yang menolak pengajaran seni khat adalah badan rasis yang menolak segala usaha kerajaan dalam pendidikan,” menurut kenyataan itu.