Malaysia Dateline

Mahathir tidak akan sokong peruntukan Kementerian Pendidikan

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyokong Belanjawan 2021 yang diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau berkata, kerajaan dilihat tidak menyediakan sebarang cadangan dalam belanjawan untuk memperkenalkan sistem pengajaran seiring dengan kecanggihan teknologi.

Menurutnya, dasar dan kaedah pendidikan wajar dikaji dan dipinda semula supaya lebih sesuai dengan keperluan para pelajar pada masa depan lebih-lebih lagi ketika menghadapi pandemik Covid-19.

“Sepatutnya semua pengajaran disediakan oleh guru dalam disk, ‘thumb drive’, di telefon atau komputer yang lengkap dengan semua maklumat yang mudah difahami.

“Demikian cara sebenar untuk menyampaikan ilmu kepada penuntut. Tetapi saya dapati tak ada apa-apa cadangan dalam belanjawan untuk pendidikan ke arah ini.

“Sebab itu saya tak dapat sokong peruntukan KPM bagi 2021,” katanya dalam sidang perbahasan Kementerian Pendidikan hari ini.

Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi dijadual melakukan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 Peringkat Jawatankuasa, hari ini.

RUU Perbekalan 2021 untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan dijalankan hari ini.