Mahathir tinjau kerja pembersihan, ziarah mangsa banjir

Mahathir tinjau kerja pembersihan, ziarah mangsa banjir

Mohamad Sabu (kiri) menyambut ketibaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meninjau kerja pembersihan oleh ARiF di Tanjung Putus.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa menyaksikan sendiri kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Pulau Pinang oleh sukarelawan Biro Keselamatan dan Kebajikan (ARiF) Nasional.

Kunjungan Pengerusi Bersatu di kawasan Tanjung Putus, Permatang Pauh dalam tempoh hampir 10 minit itu turut disambut mesra Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Bekas Perdana Menteri berkenaan kemudiannya memasuki salah sebuah rumah yang sedang dibersihkan selain bertemu dengan penduduk kampung termasuk sepasang warga emas.

Penyelaras Khas Permatang Pasir, Mohd Azhar Mat Dali berpendapat kehadiran kedua-dua pemimpin itu sebagai istimewa dan bukti pemimpin Pakatan Harapan peduli rakyat.

Mohd Azhar Mat Dali

Melangkah kawasan yang masih berlecak dan berlumpur, negarawan berusia 92 tahun itu seterusnya menaiki kenderaan untuk menuju ke pusat pemindahan banjir di Sungai Dua.

Tampil berpakaian ‘bush jacket’ keperangan yang lumrah menjadi identitinya, kunjungan Mahathir itu dilihat disambut mesra oleh mangsa banjir di Dewan Muhibah, Sungai Dua.

Selain Mohamad, Datuk Saifuddin Nasution Ismail selaku Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga antara yang mengiringi Mahathir.

Sementara itu, mengulas situasi banjir di Permatang Pasir khususnya, Azhar memberitahu sebahagian besar mangsa bah telah kembali ke kediaman masing-masing.

Menurutnya, tumpuan Pusat Khidmat adalah membantu kerja-kerja membersihkan kediaman mangsa dengan kekuatan seramai 40 sukarelawan ARiF.

Lokasi terlibat sekitar Permatang Nibong, Kampung Sama Gagah, Taman Desa Murni, Sungai Dua, Kampung Sungai Sintok, Tanjung Putus dan Kampung Permatang Pasir.

“Saya juga berkesempatan meninjau rumah salah seorang penduduk di Tanjung Putus yang sebahagian bumbungnya rosak diterbangkan angin. InsyaAllah kami akan usahakan untuk membantu keluarga tersebut.

“Terima kasih juga kepada mereka yang sudi menghulur bantuan dan sumbangan kepada Pusat Operasi Banjir KADUN Permatang Pasir,” kata Azhar dipetik dari Facebook AMANAH Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, ujarnya, sumbangan berterusan daripada orang ramai masih diperlukan bagi membantu mangsa pasca banjir di kawasan terjejas.

Tun Mahathir berbual seketika dengan salah seorang mangsa banjir di Sungai Dua.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 7.0
2 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS