Malaysia Dateline

Mahathir tinjau projek Menara Maha mercu tanda baharu Langkawi

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meninjau projek pembinaan Menara Maha setinggi 138 meter yang terletak di pesisir pantai di bandar Kuah di sini.

Isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan pihak pengurusan syarikat pemaju projek itu, PFCE Integrated Plant And Project (PIPP), mengiringi perdana menteri ke tapak projek yang akan menjadi mercu tanda baharu pulau legenda itu.

Pada November 2013, Dr Mahathir menyempurnakan majlis menanam cerucuk kerja pembinaan menara berkenaan.

PIPP sebelum ini dilaporkan berkata pembinaan menara itu akan disertai pembangunan komersial di sekitarnya yang akan menyumbang kepada pembangunan pekan Kuah dan berupaya menarik aktiviti ekonomi ke pulau itu serta negeri Kedah.

Projek menara itu yang sebelum ini mengalami kelewatan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini dengan kerja pembinaan bermula kira-kira dua tahun lepas.-BERNAMA.