Malaysia Dateline

Mahathir tokoh negarawan tidak akan mungkir janji peralihan kuasa, kata NGO

Seluruh negara telah  mengetahui bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad  merupakan tokoh negarawan tidak akan memungkiri janji yang  dilafazkan sebelum ini maupun setelah menjadi kerajaan yang menunjangi Pakatan Harapan (PH) untuk menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru cadangan supaya Dr Mahathir meneruskan khidmat beliau sehingga tamat penggal  dianggap sebagai ‘tiada moral politik’

Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa  Pertubuhan Cakna Ummah Pulau Pinang,  Dr Zaidi Zakaria.

Jelasnya, isu peralihan kuasa ini sudah pun selesai apabila  Dr Mahathir  berkali-kali berjanji dan dilafazkan acap kali akan memenuhi janji beliau.

Dr Zaidi Zakaria

Malah kata Dr Zaidi lagi, yang terakhir ketika Dr Mahathir  ditemubual wartawan  Bloomberg di Bangkok, Thailand.

“Anwar juga optimis Tun akan penuhi janji beliau dan meminta supaya tiada mana-mana pihak membangkitkan lalgi soal peralihan kuasa tersebut.

“Sebenarnya keadaan telah pun reda, namun begitu tiba-tiba Presiden Pas cuba menghangatkan kembali situasi dengan cadangan agar Tun meneruskan menerajui kepimpinan sehingga tamat penggal.

“Ia seolah-oleh menggalakkan Tun supaya memungkiri janji yang telah dicanang-canangkan kepada seluruh rakyat sebelum ini, ” ujarnya.

Dr Zaidi yang juga bekas Ketua AMANAH Kawasan Permatang Pauh berkata,  cadangan itu tidak pelik kerana ia datang dari musuh politik PH iaitu Pas yang cuba memporak-perandakan segala perancangan yang ada.

“Namun begitu apa yang peliknya apabila cadangan yang sama pula datang dari Timbalan Presiden PKR. Datuk Seri Azmin Ali yang juga merupakan pimpinan PH

“Ia seolah-olah cuba memungkiri segala janji dan konsensus PH.

“Tambah ajaib, aneh dan menghairankan apabila Azmin pula menyokong dan mengalu-alukan cadangan Pas yang merupakan pembangkang kepada kerajaan PH, ” katanya lagi.

Menurut Dr Zaidi, masalah dalaman PKR tidak seharusnya mengheret PH untuk sama-sama menanggung beban tersebut sehingga menghilangkan keyakinan rakyat terhadap PH.

Sedangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menjangkakan ekonomi negara ini akan pulih dalam tempoh tiga tahun.

“Itulah indikatornya tempoh peralihan kuasa sepertimana yang telah dinyatakan oleh Tun sebelum ini.

“Dalam usia Tun yang telah menjangkau 94 tahun, tidak logik bagi Tun untuk memungkiri janji kerana ia akan menjadi suatu nostalgia kepada seluruh rakyat dalam negaran ini.

“Justeru itu segala polemik dan kecelaruan dalaman tidak harus mengheret PH kerana rakyat telah memberi mandat hasil janji-janji sebelum kemenangan dicapai dalam pilihan raya umum 2018 yang lalu, ” katanya.

Oleh kerana itu kata Dr Zaidi, jangan kerana keinginan hawa nafsu dan kepentingan peribadi maka segala konsensus dan kesepakatan PH terpaksa dinodai dan dicalarkan demi memenuhi kehendak rakus mana-mana pihak, sedangkan rakyat amat mengharapkan nasib mereka terus dibela dibawah pemerintahan kerajaan PH.