Malaysia Dateline

Lim Guan Eng

Mahathir tolak penuhi janji manifesto PH, kata Guan Eng

 

Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak untuk terus memenuhi janji-janji manifesto seperti dinyatakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perkara itu dimaklumkan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini menerusi satu kenyataan.

Menurut Guan Eng, dalam perbincangan beliau dengan Dr Mahathir pada 25 Februari lalu di Pejabat Perdana Menteri, beliau telah menolak untuk kekal sebagai Perdana Menteri PH dan menolak untuk terus memenuhi janji-janji manifesto PRU PH.

“Sejak 21 bulan yang lepas, kerajaan PH telah bekerja keras untuk memenuhi janji-janji manifesto secara berperingkat.

“Antaranya termasuklah penurunan kadar tol untuk Lebuhraya Utara Selatan sebanyak 18 peratus bagi kenderaan persendirian dengan jaminan tidak ada sebarang kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi.

“Selain itu, Projek MySalam yang menawarkan bantuan kewangan bernilai di antara RM4,000 sehingga RM8,000 untuk mereka yang menghidapi salah satu daripada 45 penyakit kritikal,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu menambah, kerajaan PH juga memansuhkan GST yang digantikan dengan SST dan membayar semula pemulangan kutipan GST yang berjumlah RM19.4 bilion.

Katanya, kerajaan PH juga mengekalkan kedudukan kredit antarabangsa negara walaupun kerajaan terpaksa membayar berpuluh bilion ringgit kerana skandal 1MDB, Tabung Haji dan pelbagai skandal-skandal lain lagi.

“Di samping itu, kerajaan PH turut menyambung semula projek-projek infrastruktur utama selepas mencapai penjimatan lebih daripada RM50 bilion melalui rundingan semula dan rasionalisasi projek kerajaan terdahulu.

“Serta mempercepatkan proses digitalisasi melalui penggalakan penggunaan e-dompet, mencipta 350,000 peluang pekerjaan untuk mereka yang menganggur melalui projek MalaysiaKerja yang bernilai RM6.5 bilion, dan pelbagai inisiatif lain lagi.

“Manifesto PRU PH inilah yang menjadi panduan untuk menyatukan kami dan mentadbir negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri PH Dr Mahathir,” ujarnya.