Malaysia Dateline

Mahathir ucap takziah pemergian Khoo Kay Kim

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh sejarawan negara dan ahli akademik, Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang meninggal dunia hari ini akibat jangkitan paru-paru.
Beliau berkata, pemergian Dr Khoo adalah kehilangan besar kepada negara kerana mendiang disifatkan sebagai individu hebat yang memperjuangkan sejarah dan kaum di negara ini.
“Takziah kepada keluarga mendiang. Saya sedih kerana tidak sempat memberi penghormatan terakhir kepada mendiang. Saya mahu melawat tetapi tidak mempunyai masa.
“Mendiang adalah individu yang hebat dan banyak memberi sumbangan besar kepada perkembangan sejarah negara.
“Mendiang juga adalah sejarawan terbilang yang sangat adil kepada semua kaum di negara ini kerana beliau sentiasa bersifat benar sama ada bercakap mengenai Cina, Melayu atau India dan semua orang sentiasa menghormatinya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Peribumi Bersatu Malaysia, pada Selasa.
Dr Khoo meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), sekitar jam 10 pagi tadi, pada usianya 82 tahun.