Malaysia Dateline

Mahathir, wakil 6 parti berada di Istana Negara

Pemimpin daripada enam parti pada masa ini telah berada di Istana Negara, lapor Malaysiakini.

Bagaimanapun, maklumat terperinci berkenaan parti terbabit tidak dinyatakan.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Difahamkan, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg merangkap Ketua Menteri Sarawak menuju ke Istana Negara selepas mesyuarat bersama Ahli Parlimen berakhir kira-kira jam 6 petang tadi.

GPS terdiri daripada empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP).

Gabungan parti yang dahulunya membentuk BN Sarawak itu pada masa ini memiliki 18 kerusi Parlimen iaitu PBB (13), PRS dan PDP (2) manakala satu kerusi SUPP.

Turut hadir ke Istana Negara ialah Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Ketua Menteri Sabah.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga disahkan sudah berada di Istana Negara selepas menerima perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong.