Mahathir yakin Aiman boleh laksana apa yang dirancang

Mahathir yakin Aiman boleh laksana apa yang dirancang
calon Pakatan Harapan Mohamad Aiman Zainali

Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat khususnya di Semenyih perlu memikirkan masa depan dan memilih calon yang boleh membawa perubahan di kawasan mereka.

Menurutnya, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih, Muhammad Aiman Zainali diyakini mampu melaksanakan segala perancangan bagi kawasan yang terletak di Parlimen Hulu Langat, Selangor itu.

“Kalau Muhammad Aiman menjadi Adun, saya yakin dia boleh melakukan apa yang dia rancang di tempat ini,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana PH berdekatan Tesco, Semenyih malam tadi.

Pengerusi Bersatu tersebut berkata, calon PH mempunyai kelebihan untuk menunaikan agenda bagi penduduk Semenyih jika menang PRK esok lantaran memiliki sokongan kerajaan negeri dan pusat yang diterajui PH.

Sebaliknya, beliau menegaskan pengundi di Semenyih hanya melakukan perkara sia-sia jika memilih calon BN atau parti lain pada bagi kerusi N.24 itu.

Dr Mahathir berpendapat calon pembangkang tidak mampu melakukan agenda pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat kerana tidak mempunyai kuasa di peringkat persekutuan dan negeri.

“Kalau pilih (calon) parti pembangkang, apa yang boleh dia buat?

“Lagipun, Selangor ialah antara negeri terawal yang menolak BN,” tegas Pengerusi PH itu lagi.