Malaysia Dateline

Mahathir yakin dapat sokongan majoriti dipilih PM ke-8

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memaklumkan, beliau memiliki sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Perdana Menteri Interim itu berkata, keputusan sebulat suara itu dicapai menerusi satu mesyuarat dengan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH), awal pagi tadi.

“Pagi ini saya telah bermesyuarat bersama pemimpin PH. Saya yakin bahawa saya mendapat sokongan yang diperlukan dalam membentuk majoriti di Dewan Rakyat.

“Justeru itu, saya bersedia untuk menjadi calon Perdana Menteri. Keputusan ini akan disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi itu turut merujuk kepada kenyataan yang menyatakan beliau menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-8.

“Seperti yang telah berulang kali saya nyatakan sebelum ini, saya menolak kerjasama dengan individu yang terlibat dengan rasuah dan terbabit dalam pentadbiran kleptokrasi yang mana Kerajaan PH telah bertungkus lumus menjatuhkannya.

“Atas dasar prinsip, saya telah menyatakan perkara tersebut dalam mesyuarat bersama Ahli-ahli Parlimen Bersatu yang diadakan semalam.

“Saya juga keluar awal daripada mesyuarat tersebut bertujuan memberi ruang perbahasan secara terbuka dalam kalangan Ahli Parlimen Bersatu agar mereka memilih calon terbaik bagi menyandang jawatan Perdana Menteri,” katanya.

Dr Mahathir menambah, beliau tidak bersedia untuk bekerjasama dengan golongan perasuah daripada Umno.

“Saya boleh terima individu selagi mana ia terbukti ‘bersih’. Mungkin Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih santai dalam pendekatan ini,” ujarnya.