Mahathir ziarah Anwar di hospital

Mahathir ziarah Anwar di hospital

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam, menziarahi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Dua keping  foto menunjukkan Dr Mahathir hadir tanpa ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Turut kelihatan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, anak-anaknya Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar  bersama empat lagi adik-beradiknya berada  disisi Anwar ketika Dr Mahathir menziarahi Anwar.

Anwar dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pada malam Ahad, berikutan masalah bahu kanan serta bahagian belakang beliau selepas kembali dari Turki.

Anwar telah dibawa dari kediamannya di Bukit Segambut menaiki ambulans menuju wad kecemasan PPUM.

Kunjungan Anwar ke Turki bermula Khamis lalu, adalah atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Beliau mengalami kecederaan ketika kemalangan pada 2014 dan menjalani pembedahan November lalu.

Bekas timbalan perdana menteri itu mengalami kesakitan menjalani hukuman penjara pertama dan turut pernah dibedah di Jerman pada 2004.

Anwar dalam status di facebooknya semalam turut mengatakan beliau masih lagi menerima rawatan dan kesihatannya  stabil.

“Alhamdulillah, kesihatan beransur pulih usai rawatan rapi di PPUM. Setinggi terima kasih kepada para doktor dan  pasukan atas tindakbalas serta rawatan yang cepat dan cekap.

“Buat semua yang menanya khabar dan menyampai salam, terima kasih atas doa ingatannya,” ujarnya.