Mahdzir langgar Perlembagaan, Pekeliling Perkhidmatan Penjawat Awam

Tindakan Kementerian Pendidikan menghantar surat tunjuk sebab kepada lima guru bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Pekeliling Perkhidmatan Penjawat Awam yang membenarkan guru untuk berpolitik.

Mahdzir langgar Perlembagaan, Pekeliling Perkhidmatan Penjawat Awam

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul MunirTindakan Kementerian Pendidikan menghantar surat tunjuk sebab kepada lima guru bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Pekeliling Perkhidmatan Penjawat Awam yang membenarkan guru untuk berpolitik.

Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan sikap autokratik kerajaan yang ditonjolkan melalui kementerian itu oleh Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid sewajarnya tidak berlaku.

Exco Pendidikan dan Mahasiswa Armada Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, tindakan Mahdzir itu bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan juga Pekeliling Perkhidmatan Penjawat Awam Bil. 9/2010 yang membenarkan guru untuk berpolitik yang telah berkuatkuasa sejak 1 Ogos 2010.

“Bagaimana seorang anggota legislatif yang juga menteri boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian dan bercanggah dengan hitam putih peruntukan negara sekaligus mencabul hak selaku warga hanya semata bertentangan ideologi politik dan mengkritik.

“Pekeliling Perkhidmatan telah memperuntukan bahawa Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan menganggotai atau terlibat secara langsung dalam politik malah dibenarkan untuk bertanding atau memegang jawatan di dalam mana-mana parti politik.

“Manakala Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) dan Kumpulan Pengurusan & Professional (P&P) pula hanya dibenarkan menjadi ahli biasa.

” Malah Perkara 10 Perlembagaan Malaysia turut memelihara hak bersuara 5 guru ini sepertimana yang termaktub dalam (1) (a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara,” terangnya.

Pada Isnin, Mahdzir memaklumkan kementerian telah menghantar surat tunjuk sebab kepada lima guru yang didapati menaiki pentas politik pembangkang untuk memburukkan kerajaan.

Mahdzir berkata hanya sebilangan kecil daripada 435,000 guru di seluruh negara yang dikesan terlibat secara aktif dengan pembangkang dan pihaknya sedang memantau perkara tersebut.

Armada beranggapan tindakan Mahdzir bercanggah dengan demokrasi.

“Di manakah letaknya demokrasi seperti yang dicanang menteri apabila melarang guru untuk mengkritik setelah tiada ruang untuk menyatakan kebenaran?.

“Apabila kebenaran diperkatakan begitu mudah pihak kerajaan menyatakan bahawa segalanya fitnah dan mengambil tindakan, sedangkan ianya boleh jadi suatu penambahbaikan buat kerajaan.

“Terlalu banyak masalah yang dihadapi guru, kerja-kerja luar skop pengajaran dan pembelajaran misalnya dan kesan pemotongan bajet pendidikan turut memberi impak termasuk apabila sekolah melalui guru-guru juga terpaksa mencari duit untuk pembangunan ataupun program-program sekolah.

“Malah sehingga ada yang terpaksa mengeluarkan bajet sendiri kesan ketirisan kerajaan,” terangnya.

Justeru kerajaan digesa untuk menilai kembali sejauh mana mereka mendengar rintihan guru khususnya atas bebanan yang ditanggung golongan pendidik ini.

“Jika sebegini rupa sikap seorang menteri, nescaya TN50 hanyalah omongan kosong, kerana transformasi untuk mendengar dan mengkritik sebagai komponen terpenting demokrasi gagal diimplementasi malah turut mencabuli hak asasi individu.

“Nasihat kami kepada menteri pendidikan adalah lebih baik Datuk Seri Mahdzir fokus dengan ranking pendidikan negara yang semakin merudum dan berada pada ranking ke-52 dari 72 buah negara,” ujarnya.

Mohd Asyraf merujuk kepada laporan organization for Economic Cooperation and Development (OECD) dalam penarafan 2016/2017 dan angka penurunan yang turut dinyatakan dalam laporan ‘The Global Competitiveness Report 2016–2017’ oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC).