Mahfuz bangga sebilangan artis berani ungkap derita rakyat

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Haji Mahfuz Omar berkata, beliau begitu teruja membaca berbagai komen daripada artis dan personaliti tanah air seperti Datuk Aznil Nawawi (Pak Nil), Datuk Sheila Majid,Fathia Latiff, Adibah Nor dan Yassin yang begitu berani mengangkat suara keluh resah hati rakyat yang bertarung dengan kesempitan hidup akibat peningkatan kos sara hidup yang tinggi.

Datuk Haji Mahfuz Omar

“Lebih membanggakan saya apabila mereka berani keluar daripada status sosial mereka untuk berada di tengah realiti kehidupan rakyat marhaen.

“Komen serta luahan isi hati mereka bukan pada sebarangan orang tetapi ditujukan kepada MO1 yang sedang berkuasa.

“Mereka sanggup keluar daripada alam kehidupan membodek untuk kepentingan diri kepada keberanian memperjuangkan kepentingan negara dan kehidupan rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Tetapi malangnya kata Mahfuz, mereka ini dicemuh oleh spesis 3P (penjilat, pembodek dan pengampu) tegar PM Najib Razak dengan berbagai tuduhan untuk menutup kelemahan pentadbiran MO1 Najib Razak mengurus tadbir kerajaan.

“Saya percaya mereka sedang merasai kerosakan yang sedang berlaku akibat daripada politik 3P (penjilat, pembodek, pengampu). Malangnya di Malaysia kebenaran adalah musuh nombor satu negara,” kata Mahfuz lagi.

Kata beliau lagi, Pak Nil, Sheila Majid, Fathiah Latiff, Adibah Nor, Yassin serta personaliti yang lain juga, bagi beliau adalah ‘YB’ di luar Parlimen yang tidak mengambil sikap berkecuali dalam masalah keperitan hidup rakyat.

“Anda berani kerana benar, anda berani untuk menjadi berani demi negara dan rakyat. Terima kasih ‘YB’!” puji beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *