Malaysia Dateline

Mahfuz dapat surat pelepasan selepas tiga hari kuarantin balik dari Sabah

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menafikan khabar angin yang mengatakan beliau tidak menjalani kuarantin wajib di rumah selepas pulang daripada membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, beliau telah menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di Semenanjung pada 28 September lalu dan telah menjalani kuarantin di rumah sehingga keputusan ujian diperoleh.

Jelasnya, beliau telah disahkan negatif Covid-19 dan mendapat surat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah pada 1 Oktober lalu.

“Ramai yang keliru dengan perkara ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan individu yang pulang dari Sabah dan diuji negatif tidak diwajibkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

“Saya juga dapat surat pelepasan dari KKM. Mereka hanya wajibkan kuarantin 14 hari bagi mereka yang pulang dari luar negara sahaja.

“Kalau ikutkan, Sabah ini masih dalam Malaysia. Jika saya pergi ke Kedah dan pulang ke Kuala Lumpur, takkan saya kena kuarantin 14 hari juga?,” soalnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Justeru Mahfuz berkata, beliau kini tidak perlu lagi menjalani kuarantin mencegah penularan Covid-19 selepas disahkan negatif.

Beliau turut berkongsikan surat pelepasan KKM diperolehnya kepada Malaysia Dateline.

Surat ditandatangani oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar, M. Safiq Ilham Zulkifli itu memaklumkan Mahfuz hanya menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah bermula dari 28 hingga 30 September sahaja.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak kami (KKM) mendapati status kesihatan Tuan/Puan memuaskan.

“Oleh itu, Tuan/Puan adalah diberikan pelepasan dari menjalani pemerhatian dan pengawasan di bawah Akta 342 bermula dari tarikh seperti tersebut di bawah,” dipetik dari surat pelepasan KKM itu.

Prosedur operasi standard (SOP) KKM menetapkan, individu yang pulang dari Sabah dan diuji negatif, tidak bergejala serta bukan kontak rapat pesakit Covid-19 tidak diwajibkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Sepanjang tempoh kuarantin, mereka akan dipakaikan gelang berwarna merah jambu sehingga mendapat keputusan ujian saringan tersebut.

Jika keputusannya negatif dan bukan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) atau Individu Dalam Pemerhatian (PUS), mereka dibebaskan tanpa perlu menjalani kuarantin 14 hari.

Untuk rekod, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu telah pun disahkan negatif Covid-19 pada 1 Oktober iaitu tiga hari selepas pulang dari Sabah.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof disahkan positif Covid-19 pada hari keempat selepas dimaklumkan ujian saringan Covid-19 itu negatif.

Semalam pula, ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei sah positif Covid-19 menerusi keputusan ujian saringan kali kedua selepas mengamalkan pengasingan kendiri di rumah sejak hari pertama tiba di KLIA2, 27 September lalu.

Sementara itu, kempen tagar (tanda pagar) #EmpatBelasHari dan #RakyatJagaRakyat berlegar di media sosial yang menggesa individu yang pulang dari Sabah termasuk ahli politik menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Surat pelepasan KKM hanya mengarahkan Mahfuz menjalani kuarantin bermula 28 hingga 30 September.