Malaysia Dateline

Mahfuz desak kerajaan perjelas isu projek rundingan terus lebih RM100 juta

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz didesak untuk menjelaskan dokumen berkaitan projek rancangan tebatan banjir di Melaka yang telah diluluskan tanpa melalui proses pemberian tender yang sepatutnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Seri Mahfuz Omar berkata, projek berkenaan seharusnya dilakukan melalui tender terbuka untuk menjimatkan wang perolehan kerajaan, selain memastikan ketelusan dalam pemberian projek.

Tegasnya, kerajaan perlu segera memperincikan kos perbelanjaan bagi projek yang dilakukan secara rundingan terus itu yang difahamkan melebihi RM100 juta.

“Saya akui projek tebatan banjir ini perlu dibuat tetapi bukannya dengan menggunakan alasan ia perlu disegerakan, maka rundingan terus boleh dikeluarkan.

“Ia sepatutnya dibuat secara tender terbuka untuk memastikan penjimatan wang rakyat dan kerajaan. Ini yang perlu dijelaskan.

“Kalau rundingan terus, saya tidak tahu 10 peratus (dari keseluruhan projek) akan diberikan kepada siapa. Inilah amalan yang dibuat pihak tertentu bagi membolehkan mereka mendapat ganjaran untuk dana politik,” katanya menerusi sidang media hari ini.

Terdahulu, tular satu surat bertarikh 23 Disember 2020 yang memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan bersetuju untuk meluluskan projek-projek rancangan tebatan banjir Sungai Duyong, Melaka di bawah program jana ekonomi pemerkasaan kontraktor bumiputera berwibawa (Janawibawa).

Kandungan surat itu menyebut projek itu dilaksanakan oleh kontraktor dari syarikat Ambang Besar Sdn Bhd (ABSB) secara rundingan terus.

Surat tersebut dilihat mempunyai cop pengesahan sudah diterima dari pejabat Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dan ia juga turut disalin kepada Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

Sementara itu Mahfuz mendakwa, projek tebatan banjir di Sungai Duyong, Melaka adalah antara 17 projek mega kerajaan yang dikatakan telah diluluskan melalui rundingan terus.

Naib Presiden AMANAH itu kemudiannya mempersoalkan kewajaran tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersetuju membiarkan amalan runding terus dilakukan dalam projek-projek mega.

Sedangkan beliau berkata, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Muhyiddin begitu keras menentang amalan kleptokrat sama ada berhubung isu 1MDB mahupun pemberian projek yang tidak melalui proses sepatutnya.

“Adakah ini merupakan cara Muhyiddin dan kerajaan minoritinya mencari dana untuk parti Perikatan Nasional (PN) menghadapi pilihan raya?

“Salinan itu juga diberi kepada ketua setiausaha sulit PM. Saya agak hairan apa keperluan salinan surat diberikan kepada pejabat PM. Dia bukan ketua Pengarah JPS yang akan melaksanakan projek ini.

“Apa keperluan surat ini disalin kepada ketua setiausa sulit PM. Adakah projek ini untuk kepentingan pihak tertentu?,” soal Mahfuz lagi.