Mahfuz harap Pas terima tawaran Azmin

Mahfuz harap Pas terima tawaran Azmin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pas perlu menerima pelawaan timbalan presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali untuk menyertai kembali pakatan pembangkang bersama PKR, DAP dan Amanah.

Ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berpandangan, pelawaan Azmin itu dibuat selepas menyedari kesan daripada kekalahan pembangkang dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini akibat pertembungan sesama sendiri.

Beliau berkata, meskipun pertembungan itu bukan asas yang menyebabkan kekalahan pembangkang, namun tetap memberikan kecelaruan kepada pengundi dan rakyat khususnya.

“Saya sangat mengharapkan pimpinan PAS akan menyambut baik pelawaan Azmin demi Malaysia dan rakyat untuk bersama dalam satu pakatan pembangkang PAS, PKR, DAP dan Amanah serta parti parti lain dan NGO.

“Kepada semua pemimpin parti-parti politik saya mengharapkan dapat merendahkan ego, meninggikan akal mencari panduan, meneguhkan pegangan dan menggenggam keazaman untuk perubahan demi rakyat dan Malaysia tercinta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz yang juga bekas ketua penerangan Pas Pusat juga berkata, parti-parti pembangkang perlu kembali kepada meja perbincangan melalui satu pakatan yang boleh memberi harapan baru yang meyakinkan rakyat untuk perubahan masa depan Malaysia.

”Tawaran Azmin kepada PAS sejujurnya saya katakan ingin melihat krisis negara yang makin kritikal ini perlu ditamatkan dengan pengembelengan suara dan kuasa rakyat dari pelbagai latar belakang ideologi politik dan NGO dalam satu Pakatan.

“Ini mampu mampu meletakkan kembali Malaysia pada landasan yang betul dengan kemajuan yang bebas dari kemungkaran politik salah guna kuasa pemimpin serta kemungkaran ekonomi bebas dari rasuah dan penyelewengan wang negara dan membawa kepada pembaharuan dasar ekonomi yang meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.

Azmin yang juga menteri besar Selangor dalam satu kenyataan semalam berkata, semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang jelas menunjukkan rakyat negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka.

Oleh itu, bagi memastikan hasrat pakatan pembangkang untuk merubah masa depan Malaysia, PKR mengajak PAS untuk kembali bersamanya dan DAP.

TAGS