Malaysia Dateline

Mahfuz isytihar keluar Pas berkuatkuasa jam 11.59 malam ini

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini mengumumkan pemberhentiannya daripada menganggotai Parti Islam SeMalaysia (Pas) berkuatkuasa jam 11.59 malam ini.

Menurut Mahfuz, pemberhentian beliau sebagai ahli Pas yang beliau sertai selama 34 tahun sejak 12 Mac 1984 adalah ekoran tindak-tanduk tidak sihat kepimpinan tertinggi Pas dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan perjuangan Islam.

“Antaranya pengurusan RUU 355 yang dinyatakan oleh Pas sebagai nyawa Pas tetapi akhirnya dilihat memperalatkan RUU 355 untuk kepentingan politik semata-mata.

“Sikap berkecuali Pas dalam isu Bajet beberapa tahun mutakhir ini dan yang terakir pendirian berkecuali Pas di Parlimen dalam pengundian Bajet 2018 dilihat sebagai satu pengkhianatan pada kesusahan, kesengsaraan dan penderitaan rakyat dari bajet yang mencekek kehidupan rakyat.

“Begitu juga pendirian Pas yang hanya menyasarkan untuk menang 40 kerusi Parlimen sahaja pada PRU14 nanti adalah menunjukkan ketidaksediaan Pas untuk mengambil alih urusan pemerintahan negara daripada pemerintah klaptokrat Umno-BN,” katanya dalam surat beliau kepada Setiausaha Agung Pas Dato’ Takiyuddin Haji Hassan bertarikh hari ini.

Sedangkan rata-rata ahli Pas di akar umbi kata beliau, mahukan peralihan kuasa pemerintahan berlaku pada PRU14 akan datang untuk keluar daripada beban kos sara hidup dan menyelamatkan negara daripada klaptokrat Umno-BN yang menjadi sebahagian daripada tuntutan Islam.

“Kini Pas sedang bertindak memencilkan diri daripada rakyat terbanyak dalam mendepani arus perdana politik negara yang tak perlu saya huraikan satu persatu di sini.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas segala pengalaman dan tunjuk ajar sepanjang saya berada dalam organisasi Pas. Saya juga memohon jutaan kemaafan dan keampunan atas segala kesilapan serta kekurangan sumbangan dan pengorbanan yang saya berikan sepanjang menjadi ahli Pas.

“Moga Allah SWT akan meneguhkan lagi Istiqamah saya bersama Islam walaupun selepas berhenti daripada menjadi ahli Pas dan didoakan ikatan silaturrahim persahabatan dan ukhwah Islamiah sesama kita kekal teguh walaupun saya tidak lagi menjadi ahli Pas,” kata beliau.