Malaysia Dateline

Kisah Mahfuz lari dari penjara

Bagi budak-budak baru dalam perjuangan Pas, kebanyakannya tidak tahu kisah ini. Ini kisah beberapa tahun selepas Anwar Ibrahim lebam matanya dan disumbat ke penjara.

Zaman itu seolah-olah zaman transisi lokap dan penjara adalah untuk penjenayah kepada penjara pejuang. Ketika itu ramai pimpinan parti pembangkang ditangkap dan dilokap.

Mereka ditangkap pada 1997. Proses turun naik ke mahkamah memakan masa hingga tiga tahun. Video peristiwa tangkapan dan kekasaran FRU semasa hendak menyurai para demonstran di Masjid Rahman telah menyebabkan satu keluarga kami berubah pendekatan politik.

Almarhum bapa saya tidak boleh terima tindakan tersebut. Akhirnya, almarhum bapa saya telah mengambil sikap lebih jelas dalam politik kepartian. Almarhum bapa mula aktif dengan Pas.

Mahkamah Majistret mendapati Mahfuz Omar, Salahudin Ayub, Hj. Minhat dan Pak Amjal bersalah menyertai perhimpunan haram membantah kedatangan pasukan kriket Israel menyertai pertandingan di Kuala Lumpur.

Perhimpunan itu diadakan di Masjid ar Rahman dekat pintu utama UM. Ramailah pelajar UM sertai. Ketika itu, berdozen disumbat ke Black Maria.

Masa itu FRU masuk ke dalam masjid dengan kasut mereka demi ligan para pendemo. Ada yang terjun sungai dan panjat pagar UM.

Hanipa Maidin pun kena tangkap walaupun ia beria-ia menerangkan pada FRU bahawa dia adalah peguam. Hanipa pada masa itu berkemeja putih lengan panjang dan pakai tali leher (kalau tak silap). Masa itu, kau lawyer ke, pensyarah ke, doktor ke… no way. Masuk Black Maria dulu!

Majistret jatuh hukuman denda RM1,000 dan jika gagal bayar, kena penjara sebulan. Mereka enggan bayar (kecuali Hj. Minhat yang ketika itu berkeuzuran). Hanipa kata dalam mahkamah, kami tidak akan beri satu sen pun untuk kerajaan yang menyokong Israel.

Melangkahlah mereka bertiga ke Penjara Kajang tanpa tangisan. Fuhhh, bersemangat masa itu. Macam lawan Israel Zionis ! Sempatlah mereka berkenalan dengan banduan-banduan di penjara.

Ada yang memberi azam dan janji (semacam biah) untuk lawan Umno bila bebas dari penjara nanti. Sempat juga mereka menanam bendi dan sayuran lain semasa beraktiviti dalam penjara.

Tibalah hari pembebasan mereka. Kami Pemuda Pas Pusat buat mobilisasi besar-besaran untuk sambut pimpinan kami di pintu utama Penjara Kajang.

Ustaz Fadzil Noor kata dia pun hendak sambut. Pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang turut setuju hadir.

Saya dan kawan-kawan kampung di Pasir Salak bergerak ke ibu kota bagi menyambut pembebasan hero-hero kita. Bukan senang kami di kampung ke Kuala Lumpur jika tiada program parti. Malamnya, ada ceramah perdana dari mereka di Taman Melewar.

Oh, dua malam kami berkampung di Kuala Lumpur. Malam itu, kami tumpang tidur di Markaz Taman Melewar. Tiba-tiba saya dimaklumkan bahawa Mahfuz sudah bebas! Bingung jadinya. Bagaimana rancangan esok?

Misbahul Munir, Ketua Pemuda Pas Perak kata, semua berjalan seperti yang dirancang. Kita semua berkumpul pagi esok di depan pintu utama Penjara Kajang. Bagaimana bebas dulu? Begini ceritanya.

Kira-kira 10 malam sebelum pagi mereka dibebaskan oleh pihak penjara, staf pejabat Pemuda Pusat terima panggilan telefon dari Mahfuz. Masa itu, staf menginfak seluruh diri pada perjuangan.

Elaunnya Allah wa rasul saja tahu. Itu rumah, itulah pejabat. Begitulah hebatnya kesan tarbiyyah ke atas budak-budak universiti. Demi perjuangan suci, sanggup berkorban jiwa dan raga.

Mahfuz hubungi Kuis (Almarhum Raja Ahmad Iskandar), maklumkan bahawa dia dibawa keluar dari penjara Kajang oleh beberapa anggota Penjara dengan sebuah kereta.

Dia tidak tahu hendak dibawa mana. Mahfuz minta dia ‘diselamatkan’. Pihak berkuasa dan penjara cuba mengelakkan detik pembebasan Mahfuz, Salahuddin dan Pak Amjal dari penjara Kajang akan mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat. Caranya, membebaskan mereka bukan dari pintu utama penjara yang akan menjadi destinasi orang ramai.

Dipendekkan cerita, berlakulah kejar-mengejar antara kereta yang dipandu Faiz Nawi bersama Kuis dengan kereta anggota Penjara. Macam adegan filem ‘Fast and Furious’. Suspen juga. Yusuf Haslam patut buat filem ini.

Sesampai di Tol Jalan Duta, pemandu kereta itu memperlahankan untuk masuk lorong tol, ‘Shah Rukh Khan’ kami pun tendang pintu kereta dan lari keluar. Cepat-cepat dia menuju ke kereta cikai Faiz dan Kuis yang berada di belakang.

Kalau dalam filem ‘Kabali’, hero itu akan berlari-lari atas bumbung trailer panjang dan gerabak keretapi sebelum masuk ke kereta yang siap menunggu.

Sepantas kilat, Faiz membelokkan stering keretanya ke belakang untuk balik ke Kuala Lumpur. Terpinga-pinga anggota penjara itu kehilangan tahanan. Terpinga-pinga anggota penjara itu kehilangan tahanan. Dan dalam skrin filem, kamera akan memfokuskan ke arah langit malam, bulan mengambang penuh.

Malam itu, Mahfuz disorok di salah sebuah rumah yang dirahsiakan tempatnya. Hingga kini, kami pun tidak ingat di mana rumah persembunyian itu. Rancangan untuk perhimpunan pagi itu dirancang mengikut jadual asal.

Berita pembebasan ketiga-tiga hero kami tidak ramai tahu. Kami wala’ menunggu arahan saja. Pagi-pagi lagi penyokong pembangkang menuju ke Penjara Kajang. Saya pertama kali pergi ke situ. Ramaipun seperti saya.

Pagi esoknya, orang sudah sesak berkumpul di sekitar Penjara Kajang. Sedang orang ramai sibuk menanti sesuatu yang tidak pasti, Mahfuz Omar muncul tiba-tiba dicelah-celah orang ramai.

Lagaknya bagai Shah Rukh Khan keluar dari percikan api dan asap bom. Dia berjalan penuh gaya menuju ke arah kami. (Jika dalam filem, ia dibuat secara slow motion). Sedang pintu utama Penjara Kajang masih tertutup kunci rapat.

Allah akbar! Allah akbar! Allah akbar!

Malam itu, ceramah khas diadakan di Markaz Tarbiyah Pas Pusat di Taman Melewar. Semua yang dibebaskan ada di pentas utama. Dewan penuh sesak dan bersemangat. Mahfuz Omar berceramah dengan memakai baju penjara berwarna putih.