Malaysia Dateline

Datuk Mahfuz Omar

Mahfuz minta tempoh 45 hari untuk pilih parti, komited dengan PH

Ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar meminta tempoh 45 hari dari sekarang bagi menentukan parti politik yang bakal disertai olehnya nmaun mengaskan komitmen untuk bersama Pakatan Harapan (PH) bagi melakukan perubahan politik negara.

Dalam satu kenyataan media, bekas naib presiden Pas itu berkata, walaupun telah meninggalkan Pas, beliau masih berbincang dengan rakan-rakan dalam Pas bagi mengatur strategi untuk membolehkan ahli dan penyokong parti itu menyokong PH.

“Mutakhir ini banyak pihak sama ada parti politik, NGO, media atau pun orang perseorangan tatkala menghubungi saya sering bertanya dengan soalan ‘cepu mas’ bila saya akan isytihar menyertai mana-mana parti politik atau terus kekal sebagai ahli parlimen bebas.

“Saya amat memahami persoalan dan tumpuan yang banyak dari berbagai pihak dengan mengharapkan agar saya segera mengumumkan dan memuktamad pendirian serta kecenderungan politik saya untuk masa kini dan akan datang,” ujarnya.

Menurut Mahfuz, pendirian beliau cukup jelas untuk bersama PH kerana terlibat pada awal pembentukan pakatan politik itu.

Malah beliau turut hadir pada sidang meja bulat yang membawa kepada pembentukan PH sejak beliau masih menjadi ahli Pas.

Oleh kerana itu, beliau mengakui tidak kekok memenuhi jemputan program yang dianjurkan PH atau parti kompenan PH bagi menggerakkan kesedaran rakyat agar menolak Umno-BN dan memastikan peralihan kuasa berlaku kepada PH pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Insya Allah saya akan terus bersama PH bagi mencipta sejarah baru politik Malaysia tanpa kuasa politik Umno-BN yang telah melingkupkan negara selepas PRU ke-14 nanti.

“Justeru itu,persoalan sama ada saya akan menyertai mana-mana parti kompenan PH atau kekal sebagai wakil rakyat Bebas dan pendukung PH tanpa parti akan saya umumkan dalam tempoh 45 hari dari sekarang,” katanya.