Malaysia Dateline

Mahfuz Omar yang ku kenali, cucunda kesayangan Qadi Jitra

Mahfuz Omar adalah rakan, sahabat dan antara tokoh yang saya kagumi kerana kepetahan hujahnya dan keberanian beliau menghadapai cabaran lawan politiknya. Beliau lahir enam (6) hari sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, iaitu pada tanggal 25hb Ogos 1957.

Sebagai anak pra dan pasca kemerdekaan, Mahfuz dikenali dalam kalangan rakan-rakan sebagai pejuang pembebasan dan keadilan. Sebagaimana semangat kemerdekaan yang mahu membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah, begitulah juga jiwa beliau.

Datuk Wira Mahfuz Omar merupakan cucunda kepada alfadhil al-Qadhi Haji Muhammad Sa’id bin Umar bin Aminuddin bin Abdul Karim (1275H/1857M – 1350H/ 1932M).

Qadhi Haji Muhammad Sa’id merupakan Qadi Jitra, Kedah, seorang Tuan Guru yang dihormati dan dimuliakan di Negeri Kedah. Beliau merupakan penulis Kitab Tafsir Nurul Ehsan, satu-satunya kitab tafsir AlQuran berbahasa Melayu yang terawal dan masih lagi digunakankan dalam kuliah-kuliah tafsir diseluruh negara.

Lahir dari susur galur keluarga ulamak tersohor nusantara ini, Mahfuz selama-lama perjuangannya hanya memilih perjuangan Islam. Bermula dengan penglibatan dengan Parti Islam SeMalaysia PAS sehinggalah apabila beliau mendapati Pas tersasar dari perjuangan politik Islam, pada tengah malam 31 Disember 2017 beliau meninggalkan Pas.

Penulis pernah bersama beliau bermusafir untuk menggerakkan Asean Muslim Secretariat (AMSEC) diawal tahun 2000. Kami menemui pimpinan gerakan pemuda Islam di Patani, Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura.

Dalam kesempatan itu, penulis dapat membaca gaya kepimpinan, kebolehan berunding dan memimpin sebuah gerakan diperingkat antarabangsa.

Beliau bersama Datuk Seri Salahuddin Ayub pada ketika itu merupakan Timbalan Ketua Pemuda Pas dilihat sebagai rakan yang senada dan seirama. Mereka berdua telah menggerakkan dua persidangan AMSEC di Patani, Thailand dan di Puncak, Bandong, Indonesia dengan jayanya.

Haji Mahfuz berjaya mempengaruhi kepimpinan Pemuda Islam diantaranya dari Parti Bulan Bintang, Parti Keadilan Sejahtera Indonesia dan beberapa kumpulan lagi supaya sebuah gagasan gerakan pemuda Islam serantau digerakkan menjadi pemangkin kepada perubahan di rantau Asia.

Tidak lama selepas itu gerakan reformasi telah diluncurkan di Indonesia hingga tersungkurnya Pak Harto dari kepimpinan Republik Indonesia. Di Indonesia delegasi kami sempat bertemu dengan Wakil Presiden Indonesia pada ketika itu Pak Hamzah Has (juga Ketua Umum Parti Persatuan Pembangunan – PPP), yang sangat kagum dengan semangat setiakawan pemuda Islam Rantau Asia dan kepimpinan Haji Mahfuz menggerakkan AMSEC.

Perjalanan perjuangannya penoh tribulasi. Beliau bukanlah seorang pemimpin yang rakus kepada kekayaan dan mengimpikan istana tersergam indah. Kehidupannya sangat sederhana.

Ketika menjawat jawatan Ketua Dewan Pemuda dan Naib Presiden PAS beliau lebih rela menginap di Markas PAS Taman Melewar sekiranya menghadiri mesyuarat dan program-program politik.

Satu ketika penulis dan isteri menziarahi rumahnya di Kedah, di kawasan perumahan murah, kami dihidangkan laksa Kedah diatas sebuah meja kecil dan kerusi usang. Ketika pulang berziarah, isteri penulis menitis air mata melihat amat sederhananya (hampir dhaif) kehidupan seorang pejuang rakyat bersama anak isterinya.

Pada tahun 1987 beliau telah ditahan tanpa bicara di bawah Akta Kesalamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau merengkok dalam tahanan Kemunting selama setahun dan setahun lagi sebagai tahanan dirumah.

Operasi Lalang telah menyaksikan penahanan diantara 106 hing 119 ahli politik dikalangan pembangkang. Turut ditahan pada ketika itu AlMarhun Ustaz Halim Arsyad Ketua Dewan Pemuda PAS, mendiang Karpal Singh, Dr Chandra Muzaffar dan beberapa pimpinan utama parti pembangkang.

Namun mereka yang membuat provokasi untuk menimbul ketegangan kaum pada ketika itu tidak pula ditahan. Seorang pimpinan UMNO Selangor ketika itu memprovokasi dengan kata-kata “bawa pisau, agar kita boleh mengupas kulit limau”, ketika seruan supaya himpunan besar-besaran anjuran UMNO dicadangkan.

Peristiwa Operasi Lalang selepas itu, menjadi pengalaman kepada kita semua bahawa UMNO/BN bukanlah parti aman dan sejahtera dan tidak pernah berlaku adil dalam apa jua tindakan mereka ketika memerintah.

Ketika kunjungan pasukan kriket Israel memasuki tanahair, Datuk Wira Hj Mahfuz bersama pimpinan pemuda telah menganjurkan demonstrasi membantah kemasukan pasukan negara haram Israel.

Walaupun begitu kerajaan melalui Menteri Belia dan Sukan hanya mengambil tindakan memekakkan teliga dan membuatakan mata.

Haji Mahfuz, Salahahudin Ayob, Pak Amjal dan ramai lagi ditahan lokap. Beliau, Salahuddin dan Pak Amjal pada tahun 2000 didapati ‘bersalah’ oleh mahkamah lalu dijatuhkan hukuman denda atau penjara jika gagal membayar denda.

Mereka bertiga memilih penjara kerana mereka tidak bersalah menentang kemasukan rakyat negara haram Israel ke Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomat.

Lebih puluhan ribu rakyat Palastine dan pejuang Hamas meringkok dalam penjara ganas Israel, telah menyebabkan ketiga-tiga pejuang rakyat ini tidak berkompromi dengan membayar denda demi untu berjalan selesa sedangkan saudara-saudara Palestine kita terhimpit dalam penjara terbuka Gaza.

Tambahan pula Israel telah mengorbankan ribuan rakyat Palestin dan merampas tanah-tanah milik orang Islam lalu meminggirkan umat Islam tanpa rumah, tanah dan tanpa kerajaan kecuali kerajaan boneka yang diketuai oleh PLO.

Inilah jiwa perjuangan Mahfuz Omar cucunda ulama tersohor al-Qadhi Haji Muhammad Sa’id bin Umar. Moyang Haji Mahfuz iaini Haji Umar Aminuddin juga merupakan alim terkenal yang mendapat julukan ‘Khatib’ kerana ketokohan dalam memberikan ucapan dan pidato. Lidah pemidato inilah yang diwarisi oleh Dato Wira Haji Mahfuz Omar.

Penulis pernah bermusafir bersama beilau ke United Kingdom dan Jerman ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani rawatan tulang belakang di Alpha Klinik, Munich, Jerman. Kami disertai oleh Dr Rosli Allani yang sedang mengikuti latihan kepakaran di Ireland dan AlMarhum Dr. Raja Iskandar (KUIS) yang pernah menjadi SU beliau sewaktu mengetuai Dewan Pemuda PAS.

Saya memerhati keperibadian tinggi beliau dan toleransi beliau beliau bersama sahabat-sahabat dalam permusafiran.

Kami mengikuti perbualan beliau dengan DSAI didalam wad Klinik Alpha berkisar isu perjuangan, reformasi dan masa hadapan Pakatan Rakyat (pada ketika itu sebelum PH ditubuhkan). Kami kemudian ke Ireland bertemu pelajar-pelajar perubatan berdialog mengenai masadepan refomasi.

Penulis masih ingat seorang mahasiswa perubatan bertanya mengenai bilakah kerajaan selain Umno/BN akan terbentuk. Beliau dengan spontan menjawab, bahawa kemenangan itu pasti akan tercapai apabila parti-parti politik berkerjasama membentuk satu ‘pakatan’ yang kukuh baharulah kita akan mampu mengambil alih kerajaan. Telahan beliau memang tepat dan ini berlaku pada Mei 2018 (PRU 14).

Itulah saudara, sahabat, rakan dan tokoh yang saya hormati. Saudara Datuk Wira Haji Mahfuz Omar, pejuang, pemimpin yang rendah diri, tokoh rakyat yang membumi dan pemidato ulong mewarisi ketokohan nenda dan moyangnya walau bukan sebagi ulama.

Tokoh pemikir pidatonya yang sinis tetapi panas mewarisi moyangnya Haji Umar ‘Khatib’. Hj Mahfuz sentiasa meletakkan Islam dalam segala gerak langkahnya.

Dan sebagai ahli parlimen yang sentiasa mendahukan rakyat dalam khidmatnya dari dahulu hinggalah dimasa kini dan sudah pastinya dimasa-masa hadapan.

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam Jordan. Walaubagaimanapun penulisan ini adalah merupakan pendapat penulis dan tidada kaitan dengan pendirian akademi.