Malaysia Dateline

Mahfuz perlu jadi sayap Presiden AMANAH, kata Ustaz Zolkharnain

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin, berkata, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang keluar Pas 1 Januari lalu perlu menyertai Parti AMANAH Negara dan menjadi sayap presidennya, Haji Mohamad Sabu.

Jika ditanya kepada saya, apa yang saya mahu daripada Mahfuz? Secara jujur, saya mahu dia menyertai AMANAH sebagai sayap kiri Bang Mat, selepas saya anggap Salahuddin Ayub adalah sayap kanannya, tulis beliau dalam Facebooknya.

Menurut Ustaz Zolkharnain, Mahfuz mempunyai aura tersendiri, popular dan terkenal sebagai seorang aktivis parti yang gigih.

Katanya, tulisan beliau mengenai Mahfuz di laman sosial Facebooknya mendapat respons yang luar biasa daripada pembaca.

Ustaz Zolkharnain Abidin

Tulisan beliau mengenai Mahfuz yang dilabel sebagai buah buruk oleh Timbalan Presiden Pas, kata Ustaz Zolkharnain, mendapat 950 LIKES, 169 SHARE dan itu katanya tidak termasuk salin tampal dalam aplikasi WhatsApp.

“Begitulah bahang aura Mahfuz yang terkenal dengan ungkapan, “Saya katakan bahawa…” dan “… dalam, dalam negara kita”, termasuk perkataan “menangani” yang disebutnya “menanggani”.

“Saya sempat bersama Mahfuz pada eranya selaku KPP Pusat selama satu penggal. Baki penglibatan saya dalam Pemuda Pas adalah bersama Salahuddin Ayub. Semasa Abu Bakar Chik juga saya sudah berada dalam Dewan Pemuda.

“Pernah sekali saya berceramah bersama Mahfuz di Alor Setar. Dalam ceramah itu saya bersyarah agak panjang tentang rosaknya sistem ekonomi riba. Sampai giliran Mahfuz berceramah, dia respons, “Yang pasti komputer riba halal.”

“Sekitar tahun 86, semasa saya masih belajar di ibu negara, saya pernah ikuti ceramah Mahfuz di sebuah markas Pas. Ketika itu dia berceramah antara baca nota dengan tidak baca saya rasa sama banyak. Tapi ceramahnya lantang,” tulis beliau menceritakan pengalamannya bersama Mahfuz.

Dalam satu peristiwa di Perlis kata Ustaz Zolkharnain, Mahfuz makan bersama Ustaz Fadhil Noor. Mahfuz meminta Ustaz Fadhil tambah nasi lagi. Ustaz Fadhil respons, “Mahfuz tak pa la, dia perut stoking.”

“Dalam satu ceramah di Perlis yang saya pengerusikan, sampai giliran Mahfuz, hujan rintik-rintik. Mahfuz kata, “Kalau tuan-tuan lari, tunggu saya turun ceramah tengah hujan.” Orang ramai terus tunggu dengar dia ceramah walaupun hujan.

“Apabila kiasan Presiden Pas bahawa Mahfuz sudah lama mati dan baru saja kebumi, saya fikir, kenyataan itu keluar daripada kekecewaan dirinya kerana Mahfuz keluar Pas. Mahfuz adalah aset Pas, walaupun Pas seolah-olah tidak mengiktirafnya, katanya lagi.

Tambahnya, sebagai manusia Mahfuz disukai dan tidak disukai tetapi Mahfuz tetap Mahfuz, auranya dalam politik belum luntur, dan auranya itu akan terus membahang biarpun kini dia masih dalam tempoh edah perceraian dengan Pas.

“Apa pun keputusan Mahfuz selepas tamat tempoh edah nanti, saya akan terima dengan senang hati. Ketika Pas kehilangan Mahfuz walaupun mereka enggan akur, PH sudah mendapat Mahfuz. Itu lebih utama,” kata beliau.