Malaysia Dateline

Mahfuz saran pihak industri latih pelajar tahfiz bidang kemahiran

Kementerian Sumber Manusia mengharapkan pihak industri dapat membuka peluang kepada pusat tahfiz dalam usaha menjalin kerjasama dan melatih pelajar tahfiz mempunyai pelbagai kemahiran supaya dapat bersaing dalam pasaran pekerjaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, dengan jalinan ini maka pelajar itu bukan sahaja menghafaz al-Quran malah mempunyai dwi kemahiran dan tidak hanya tertumpu dalam bidang agama semata-semata.

“Perkara ini penting ekoran mereka merupakan golongan yang bukan sahaja membaca al-Quran, malah menghayati surah yang dibaca sebagai panduan dalam kehidupan.

“Maka golongan ini sesuai untuk diambil ekoran sifat dalam diri mereka yang amat komited dalam apa jua yang dilakukan berpandukan hafalan al-Quran yang diamalkan,”katanya kepada pemberit hari ini dipetik Sinaronline.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan kepada penerima Zakat Wakalah Perbadanan Kemahiran (PTPK) di dewan Pusat Latihan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tanah Merah.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah, Razali Kassim dan Pengurus Besar (Pengurusan) PTPK, Mohd Fathullah Mustafa.