Malaysia Dateline

Mahfuz tempelak Pas duduk bersama kumpulan perasuah

Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang ditempelak berhubung kenyataannya yang mengatakan bahawa sesiapa yang terlibat dengan perbuatan rasuah akan dilaknat Allah.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar berkata, sekiranya begitu, mengapa Pas masih duduk bersama dengan kumpulan perasuah yang dilihat merujuk pada pemimpin ‘kluster mahkamah’ dalam Umno.

“Pak haji takkan nak tunggu tuhan laknat. Itu kerja tuhan. Kerja kita ‘kan ada kuasa untuk lawan perasuah dan penerima.

“….Yang pak haji dan parti pak haji duk pi ‘seghondoi’ sekali dalam kubang dengan perasuah jadi lagu mana pak haji.

“Tuhan tak laknat ka pak haji,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam satu ciapan di Twitter.

Terdahulu, Hadi dalam satu webinar dialog berkata, mereka yang terlibat dengan rasuah tanpa mengira pemimpin yang paling tinggi kedudukannya mahupun yang paling rendah, perbuatan itu tetap diharamkan di dalam Islam.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Tuhan melaknat orang yang memberi rasuah, menerima rasuah dan memberi kemudahan rasuah.

Perbuatan tersebut kata Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu merupakan hal yang dilarang dalam Islam.

Beliau berkata demikian semasa Webinar Dialog Presiden Pas bersama NGO dan YouTuber kaum Cina secara langsung di HarakahTV baru-baru ini.