Malaysia Dateline

Mahfuz terkejut Pas tolak cadangan kerajaan perpaduan

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar terkejut dengan sikap ahli Pas apabila menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dikatakan melibatkan parti DAP.

Sedangkan katanya, suatu ketika dahulu Pas sendiri yang menguar-uarkan tentang pembentukan kerajaan perpaduan yang tiada wujud pembangkang.

“Paling mengejutkan saya ialah sikap Pas apabila menolak cadangan kerajaan perpaduan yang mahu memasukkan DAP dan melibatkan semua pihak.

“Kenapa hari ini mereka (Pas) tidak boleh menerima DAP? Kita harus menerima sesiapa sahaja untuk berada dalam kerajaan kalau itu yang kita hasratkan untuk melihat kerajaan perpaduan, sekali gus membina kembali Malaysia untuk lebih maju ke hadapan,” katanya.

Mahfuz dipetik berkata demikian menerusi satu rakaman video yang dibuat oleh beliau, malam tadi.

Dalam isu sama, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena beranggapan Pas adalah kumpulan yang tidak berjiwa Malaysia.

“Saya hairan bagaimana politik ‘flip flop’ yang dibawa oleh Pas yang dahulunya mencadangkan kerajaan perpaduan, tiba-tiba sekarang ini menolak kerajaan merentasi sempadan parti politik yang dicadangkan oleh Tun Mahathir.

“Jadi saya menganggap bahawa kumpulan ini tidak berjiwa Malaysia, anti perpaduan dan juga anti kedamaian,” ujarnya lagi.

Semalam, BH melaporkan Barisan Nasional (BN) dan Pas memutuskan untuk menarik balik akuan bersumpah (SD) menyokong Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, berkata pendirian itu terpaksa dibuat berikutan wujud cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan daripada Dr Mahathir.

“Kita membuat ketetapan bahawa sokongan kepada Perdana Menteri untuk membentuk gabungan tanpa DAP, terpaksa kita tarik balik.

“SD yang kita sampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong, memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dengan hanya terhad kepada pembentukan gabungan baharu tanpa DAP.

“Apa-apa selain daripada itu, sokongan tidak sah. Justeru sokongan pada Ahad lalu, kita tarik balik,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn.