Mahfuz umum sertai AMANAH

Mahfuz umum sertai AMANAH

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini menamatkan teka-teki  apabila mengumumkan secara rasmi menyertai   Parti Amanah Negara (AMANAH).

Beliau membuat pengumuman secara rasmi di hadapan pimpinan utama Pakatan Harapan yang turut dihadiri Presiden AMANAH Mohamad Sabu di bangunan Sementara Parlimen selepas mengumumkan keluar Pas 31 Disember tahun lalu.

Pengumuman itu menambahkan satu lagi kerusi Parlimen bagi AMANAH selepas beliau mengumumkan diri menjadi ahli Parlimen Bebas.

Datuk Mahfuz Omar menunjukkan borang keahlian sertai AMANAH.

“Saya meninggalkan Pas dan mengambil pendirian untuk menyertai AMANAH kerana Pas selama ini dilihat telah menjadi tongkat Umno-BN untuk membolehkan parti itu (Umno) kekal berkuasa dan pendirian yang berdolak dalih (flip flop) Pas dalam menentukan hala tuju politik.

“Ini jelas daripada kenyataan dibuat pimpinan Pas yang sekejap akan bertanding 80 kerusi parlimen, nak menang 40 kemudian naik 100 kerusi nak menang 40, kemudian nak jadi ‘king maker’ bagi kuasa penentu dan kini nak tanding 130 kerusi nak memerintah. Jika tak boleh memerintah sasaran 40 kerusi adalah merupakan sasaran yang mencukupi  dan terkini nak tawan pula 50 kerusi.

“Inilah timbul kecelaruan dan ketidaktentuan hala tuju Pas bagi memastikan perubahan kuasa politik negara yang diimpikan rakyat negara ini,” ujarnya ketika mengumumkan kemasukkannya dalam AMANAH.

Ketika bersama Pas, Mahfuz memegang beberapa jawatan penting antaranya naib presiden, ketua penerangan, ketua pemuda selain menjadi ahli parlimen tiga penggal Pokok Sena.

Hadir sama isterinya Datin Roswati Jaafar dan tiga anaknya.

Menurut Mahfuz walaupun tindakannya keluar Pas mendapat cemuhan di kalangan pemimpin dan ahli Pas, namun itu semua dianggapnya sebagai  asam garam dalam perjuangannya menegakkan keadilan.

“Dalam perjuangan sabar dan tabah adalah segala-galanya dalam mengharungi perjuangan ini. Saya amat berterima kasih kerana ada seorang ‘wanita besi’ iaitu isteri saya yang mengharungi susah payah untuk kehidupan saya dan rakan-rakan dalam perjuangan untuk rakyat. Bagi saya perjuangan perlu diteruskan,” ujarnya.

Pada 31 Disember tahun lalu Mahfuz membuat pengumuman keluar daripada Pas selepas 34 tahun menjadi ahli.

Bagaimanapun beliau tidak pula mengumumkan menyertai mana-mana parti politik walaupun sebelum ini sudah ada desas-desus akan menyertai AMANAH.

Mahfuz antara pemimpin Pas  yang diberi gelaran ‘harumanis’  kerana  mesra dengan para pemimpin AMANAH dan Pakatan Harapan.

Mohamad Sabu ketika menyampaikan ucapan aluannya di majlis pengumuman Mahfuz  (dua dari kanan)  dan Dr Rosli (kanan) menyertai AMANAH.

Di majlis yang sama Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir  turut mengumumkan bekas Timbalan Pengarah Bank Negara yang juga bekas Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakop menyertai AMANAH.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu ketika berucap mengalu-alukan penyertaan dua bekas pemimpin Pas itu.

Beliau yakin dengan kemasukan Mahfuz dan Dr Rosli akan melonjakkan momentum AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan Umno-BN dapat ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Kami berasa gembira pada hari ini,  Datuk Mahfuz dan Dr Rosli isytihar sertai AMANAH.

“Parti AMANAH kini sedang berkembang pesat dan bersama gabungan PKR, DAP dan Bersatu ke arah mengambil alih Putrajaya jika tiada penipuan dilakukan oleh Umno-BN pada PRU akan datang.

“Kita dalam Pakatan Harapan alukan siapa sahaja. Semua ‘equal partner’ dan boleh bincang untuk membuat keputusan bersama bukan hanya pandangan individu atau satu parti sahaja.

“AMANAH sedang bergerak ke hadapan dan kita tidak kuat jika tidak bersama dengan rakan gabungan lain dalam Pakatan Harapan.

“Sebab itu kita rapat dengan PKR, DAP, Bersatu termasuk Hindraf , Mice dan NGO lain yang menyokong Pakatan Harapan untuk menamatkan pemerintahan kleptokrasi,” ujarnya.

Mohamad dalam nada sinis turut mengulas kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas Nik Zawawi Nik Salleh yang melabelkan pemimpin Pas yang menyertai AMANAH sebagai ‘pendatang Bangladesh’.

“Ketika saya (mula aktif) dalam Pas… mereka baru budak sekolah,” sindirnya.

Nik Zawawi dilapor sebagai berkata, pemimpin Pas yang menyertai AMANAH ibarat pendatang haram Bangladesh yang dihantar pulang ke negara asal kerana mengkhianati perjuangan Pas selepas menguasai jawatankuasa Pas Pusat.

9.3
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 9.0