Malaysia Dateline

Mahfuz yang dikenali dahulu, kini tetap tidak berubah

Teringat saya ketika hadir di dalam majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya akhir tahun lalu anjuran kelab wartawan Putrajaya. Waktu itu saya hadir untuk bertemu dengan Datuk Mahfuz Omar yang baru beberapa hari dilantik menjadi Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Di benak fikiran saya ketika itu tertanya-tanya bolehkah Datuk menggalas tugas sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia yang banyak berkait rapat dengan undang-undang dan selok belok akta pekerja yang perlu dihadam sebaik-baiknya.

Ahmad Nazri Abd Azid

Sudahlah banyak seksyen dan klausa yang perlu diteliti tambahan pula beliau bukan berlatar belakangkan perkara berkait rapat dengan undang-undang ini.

Saya tercari-cari, mesti ada seseorang menyokong dan membantu di belakang Datuk untuk menggalas tugas berat ini. Sebaik bertemu dengan Datuk pada malam itu, Datuk terus memperkenalkan seseorang kepada saya.

“Nanti anti, berhubunglah dengan dia apa-apa berkaitan dengan program saya,” kata Datuk dan terus memperkenalkan pembantunya Ahmad Nazri Abd Azid kepada saya.

Ya. Saya sudah agak mesti Datuk mencari pembantu yang cukup berpengalaman di dalam selok belok sumber manusia ini masakan tidak, riak wajah Datuk ketika itu sangat meyakinkan dengan tugas dan posisi yang diterimanya daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ternyata Nazri merupakan kenalan lama Datuk ketika di dalam Pas lagi, cuma tidak menonjol kerana beliau bertugas sebagai pegawai kerajaan ketika zaman BN. Kini beliau dilantik menjadi Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Nazri mempunyai pengalaman luas di dalam Kementerian Sumber Manusia sebelum ini. Memang tepat pilihan Datuk memilih orang yang cukup arif dalam bidang ini.

Bercerita bagaimana beliau boleh terjebak sekali lagi di kementerian ini, beliau berkata, Datuk Mahfuz ada menghubunginya meminta pertolongan. Waktu itu beliau difahamkan untuk menolong sahaja rupanya sebaliknya.

Mengenali susuk tubuh insan bernama Mahfuz sejak 30 tahun lalu, bagi Nazri Mahfuz yang dahulu, kini tiada bezanya dan tetap tidak berubah. Orangnya seperti yang dikenalinya dahulu, kreatif dan ‘result oriented’.

“Semasa di dalam parti lama dahulu pun macam itulah sikap beliau. Dia bagitahu saya apa yang dia mahu dan kita akan buat dan hasilnya dia boleh terima. Jaranglah beliau pertikai hasil yang kita buat.

“Corak kerja dahulu ketika di dalam parti dengan sekarang walaupun di dalam kerajaan tidak ada perbezaan yang ketara. Saya senang bekerja dengan beliau,” katanya yang biasakan diri dengan bosnya ana anta.

Cumanya, sekarang selepas beliau sepenuhnya di dalam kerajaan dan menjadi orang kedua di dalam Kementerian Sumber Manusia beliau kena fikir ‘how to solve the problem’.

“Tidak boleh sebarangan bercakap dan perlu kepada fakta untuk ‘back up’ apa yang kita bercakap. Inilah perbezaan yang sangat ketaralah berbanding dahulu boleh bercakap apa sahaja,” kata Nazri yang merupakan lulusan universiti dari Amerika Syarikat.

Satu lagi sifat Mahfuz yang beliau tidak dapat nafikan dan menjadi amalan beliau dari zaman pemuda Pas hinggalah sekarang, beliau suka ‘engagement’ dengan masyarakat tidak kira kemana sahaja dia pergi.

“Beliau mudah mesra. Kadang-kadang jumpa orang beliau mesti bersalaman dan berpeluk walaupun beliau sudah bergelar menteri. Saya lihat masyarakat lebih yakin dengan dia. Saya tengok musuh politiknya segan dengan dia apatah lagi orang ramai,” katanya.

Bukan itu sahaja, pengamal media yang membuat liputan programnya turut merasai keikhlasan ketika beliau berjumpa masyarakat, malahan beliau cukup mudah untuk memberi kenyataan sebaik sahaja ditanya wartawan. Pendek kata semua isu dia boleh ulas.

Nazri akui kerjanya menjadi senang apabila beliau hanya memberi sahaja ‘point’ kepada Mahfuz dan beliau mampu mengulas lanjut.

“Dia boleh olah sendiri dan bercakap dengan media. Bagi saya dia cukup mudah untuk diatur. Kalau berdasarkan pengalaman saya bekerja dalam kerajaan, kalau kita buat ucapan sampai ayat pun kena susun betul-betul, jadi pening.

“Tapi dengan Mahfuz, sangat mudah sebab dia mudah ‘pick up’ contoh perkara berkaitan Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) satu benda baharu tapi dia sudah boleh tangkap bagitu juga perkara yang berkaitan undang-undang. Alhamdulillah beliau cepat. Sesetengah orang susah,” ujar beliau yang sering ada disisi Mahfuz apabila menghadiri mesyuarat bersama Menterinya Kulasegaran.

Sikap Mahfuz yang rendah diri, bagi Nazri cukup membantu ketuanya itu. Mahfuz sering mendapatkan pandangan dan sumber daripada orang ketiga dalam satu-satu isu dan tidak hanya bergantung kepada satu sumber sahaja.

“Dia cari sumber lain juga, inilah yang kita mahu. Bila jadi kerajaan banyak benda yang kita kena fikir,” katanya yang sering menggalakan ketuanya sentiasa bercakap dengan media.

Salah satunya, idea yang dicetuskan oleh Mahfuz iaitu mewujudkan tahfiz untuk pelajar TVET yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Bagi Nazri, ide-ide seperti inilah yang rakyat mahu tengok satu-satunya pusat latihan TVET yang ada tahfiz dalam masa yang sama hasil daripada modul ini akan mengurangkan pekerja asing dan diganti dengan pekerja tempatan yang ada kemahiran.

Atas ide yang dicetuskan Mahfuz inilah akan dipeluaskan sekali gus melahirkan satu insan satu kemahiran sebagaimana dipraktikan di Jerman. Orang yang ada kepandaian tinggi dalam akademik akan diserap ke universiti dan orang yang kurang bijak akan dimasukkan ke modul kemahiran dan tidak mustahil mereka ini boleh sampai ke level universiti, ujar Nazri.

“Di negara Europe mereka kurangkan pekerja asing, pekerja tempatan diberi kemahiran akhirnya dapat kerja yang bergaji tinggi. Inilah hasrat dan visi Mahfuz yang telah dipersetujui di peringkat kementerian. Satu ide yang bagus. Tambah lagi kita ada bonus pula iaitu tahfiz,” kata beliau yang mengagumi ide yang dilontar oleh Mahfuz.

Nazri percaya, ide-ide baru yang dicetuskan oleh Mahfuz yang bukan omong kosong semata-mata tetapi bakal melahirkan pekerja mahir yang bertaraf dunia setanding di negara-negara barat.

Julai ini genaplah setahun Mahfuz menggalas tanggungjawab sebagai timbalan menteri, bagi Nazri dalam tempoh itu apa yang dirancang dan digariskan di bawah kementerian akan dicapai secepat mungkin.

Bagaimanapun ada beberapa perkara yang perlu mengambil masa untuk diselesaikan misalnya isu menangani pekerja asing, namun beberapa misi dan visi yang digariskan telah pun hampir berjaya antaranya TVET.

Mengakhiri pertemuan yang diadakan di pejabat timbalan menteri di Putrajaya 24 Mei lalu, ketika ditanya selama mana beliau akan bersama Mahfuz, Nazri yang mengakui sukar untuk menjawab soalan itu. Sambil ketawa dia menjawab selama mana Datuk Mahfuz perlukan khidmatnya.