Malaysia Dateline

Mahiaddin bukan pengkhianat, tapi penyelamat negara, dakwa Bersatu

Datuk Syed Abu Hussin Hafiz (Bersatu-Gantang) berkata, Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Mahiaddin Md Yasin tidak sepatutnya dipanggil sebagai pengkhianat kerana bekas perdana menteri itu hakikatnya adalah seorang penyelamat.

Beliau berkata, perpindahan, pertukaran dan lompat parti adalah proses demokrasi yang dinamik di mana ia memberi kebebasan kepada Ahli-ahli Parlimen memilih parti bagi membentuk kerajaan.

Bahkan katanya, Mahiaddin berani mengambil alih pentadbiran ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Kejatuhan PH bukan sebab katak lompat atau Langkah Sheraton. Kejatuhan PH bermula apabila Langkawi letak jawatan tanpa menamakan penggantinya. Sepatutnya Langkawi menamakan Port Dickson sebagai perdana menteri.

“Jadi, Pagoh tidak sepatutnya dilabel pengkhianat tetapi hakikatnya adalah penyelamat negara daripada kekosongan yang ditinggalkan Langkawi,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat petang ini.

Sementara itu, beliau mengingatkan agar semua pihak tidak mengocak dan mengeruhkan lagi suasana Dewan semata-mata mahu mencari jalan pintas untuk menjadi perdana menteri dan menteri Kabinet.

“Tunggulah sehingga PRU15. Saya cadangkan ahli berhomat beri sokongan kepada Bera sebagai perdana menteri supaya dapat tadbir dengan stabil,” ujarnya