Malaysia Dateline

Mahiaddin cadang Umno ambil alih PM supaya PN kekal memerintah

Tan Sri  Mahiaddin Yassin telah menghubungi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar Umno mengambil alih jawatan perdana menteri bagi memastikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak jatuh, dedah Sinchew Exclusive.

Ia dilakukan Mahiaddin selepas beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan perdana menteri esok.

Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Redzuan Hamid memberitahu, mesyuarat kabinet akan diadakan pagi esok sebelum Mahiaddin meletakkan jawatan.

Bercakap kepada Malaysiakini, ahli parlimen Alor Gajah itu berkata, perkara berkenaan dimaklumkan Mahiaddin  dalam pertemuan dengan ahli parlimen Bersatu selama kira-kira dua jam sebentar tadi.

“Esok akan ada mesyuarat khas kabinet sebelum Mahiaddin menghadap Agong untuk mempersembahkan surat peletakan jawatan,” katanya.

Sehingga kini, Umno mempunyai dua nama popular untuk dilantik sebagai perdana menteri iaitu menaikkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai PM atau melantik Tengku Razaliegh Hamzah, ahli parlimen Gua Musang.