Malaysia Dateline

Mahiaddin dicadangkan kembali kepada PH, bentuk kerajaan perpaduan

Setelah kehilangan majoriti di Parlimen, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dicadangkan kembali semula kepada Pakatan Harapan dengan menubuhkan kerajaan perpaduan demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik.

Cadangan itu dikemukakan oleh Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad sebagaimana dilaporkan oleh Sinar Harian premiun hari ini.

Khalid berkata, cadangan itu dikemukakan memandangkan Muhyiddin secara jelas sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen susulan keputusan Umno menarik sokongan terhadap beliau.

“Seruan kepada Muhyiddin setelah beliau menyebabkan seluruh negara porak-peranda selepas ‘Langkah Sheraton’, beliau perlu meletakkan PH menjadi kerajaan semula dengan kembali menyokong kami.

“Muhyiddin kena meletakkan jawatan sebagaimana dilakukan (bekas Perdana Menteri dua kali) Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lalu, serah kembali kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan siapa yang mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

“Dengan Muhyiddin kembali ke pangkal jalan, PH sudah cukup majoriti untuk bentuk kerajaan dan kami akan usahakan pula pembentukan kerajaan perpaduan dengan memujuk Umno menyertainya,” katanya kepada Sinar Premium hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus Muhyiddin dikatakan bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat bagi memohon perkenan pembubaran Parlimen.