Malaysia Dateline

Mahiaddin dilantik Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin telah dilantik sebagai pengerusi Majlis Pemulihan negara bertaraf menteri.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Datuk Mohd Zuki Ali berikutan atas persetujuan Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 1 September lalu.

Menurut beliau, pelantikan itu telah disembah maklum kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, pelantikan ini dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Mahiaddin untuk menerajui strategi pemulihan negara.

“Ini demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” kata beliau.

Terdahulu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyenaraikan nama-nama ahli yang difikirkan beliau sesuai untuk menganggotai MPN.

Beliau berbuat demikian selepas kerajaan membuat keputusan untuk menubuhkan MPN yang akan dipengerusikan oleh Mahiaddin manakala Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras MPN.

Ekoran itu, sebanyak 65 NGO berdaftar seluruh Malaysia menuntut MPN diadakan dan dipengerusikan oleh Mahathir.