Malaysia Dateline

Mahiaddin diminta henti hina Agong, letak jawatan

1. Kenyataan Perdana Menteri dalam Perutusan Khas beliau hari ini yang mengatakan bahawa beliau tidak meletak jawatan kerana _”sehingga saat ini tidak ada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu_” , adalah merupakan satu salahtafsiran Perlembagaan yang sangat jelas dan satu penghinaan ke atas kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan.

2. Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

3. Berdasarkan surat dari Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kepada Yang di-Pertuan Agong kelmarin telah mengesahkan bahawa pada ketika ini Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin hanya mendapat sokongan dari 100 orang Ahli Dewan Rakyat sahaja dan jumlah Ahli Dewan Rakyat di pihak pembangkang pula ialah seramai 120 orang, rentetan dari penarikan sokongan beberapa orang Ahli Dewan Rakyat dari Umno kepada kerajaan Perikatan Nasional.

4. Ini jelas membuktikan bahawa Perdana Menteri kini telah hilang sokongan majoriti dan patut meletakkan jawatan dengan segera tanpa berdolak-dalih lagi dengan pelbagai alasan ataupun membuat tawaran-tawaran politik yang jelas bersifat rasuah kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat di pihak pembangkang.

5. Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan juga kesal dengan kenyataan Perdana Menteri yang jelas mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong melantik sesiapa sahaja dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Perkara 43 (2)(a) menyatakan bahawa _Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat_

6. Kuasa untuk menentukan siapa di kalangan Ahli Dewan Rakyat yang diyakini mendapat kepercayaan Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri adalah terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong dan bukannya pada Perdana Menteri, apatah lagi dalam keadaan legitimasi Perdana Menteri itu sendiri dipertikaikan. Malah, Perlembagaan tidak mensyaratkan bahawa Perdana Menteri perlu memastikan terlebih dahulu siapa yang ada sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri baharulah dia hendak melepaskan jawatannya. Ini adalah satu tafsiran yang songsang lagi mengelirukan. Perdana Menteri sekarang sudah terang lagi bersuluh tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti, maka berdasarkan Perkara 43(4), dia hendaklah _(shall)_ meletakkan jawatan tanpa sebarang alasan.

7. Amanah Wilayah Persekutuan juga mempersoalkan kredibiliti Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam memberikan nasihat kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri berhubung perkara ini yang jelas bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Peguam Negara mesti diingatkan tentang sumpah jawatannya untuk sentiasa mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan keluhuran undang-undang dan kewajipannya di bawah *Perkara 145 (2)* Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang perkara undang-undang dan tafsiran Perlembagaan, bukan hanya menasihati Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

8. Justeru itu, Amanah Wilayah Persekutuan menggesa Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin untuk segera meletakkan jawatan bagi menamatkan krisis Perlembagaan yang diciptanya sendiri demi untuk mempertahankan kuasa hingga ke hujung nyawa. Rakyat Malaysia sudah cukup tertekan dan tersiksa dengan kegagalan demi kegagalan kerajaan Perikatan Nasional menguruskan pandemik Covid -19 ini dan ekonomi negara yang semakin merudum. Enough is enough. Rakyat berhak mendapat Perdana Menteri dan kerajaan yang mempunyai kredibiliti dan diyakini mampu memimpin negara keluar dari kemelut dan kesengsaraan yang sudah berpanjangan ini.

————–

Penulis adalah seorang peguam yang juga Naib Pengerusi, Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan.