Malaysia Dateline

Mahiaddin, Hadi Awang tidak layak jadi Ketua Pembangkang

Berikutan gagal menjadi kerajaan, fokus utama PN kini tentunya ialah bagaimana untuk menjadi pembangkang yang berwibawa.

Setidak-tidaknya jika mampu menjadi pembangkang yang berwibawa, terubatlah sikit luka dan lara hati kerana gagal menjadi kerajaan.

Tetapi, syarat utama untuk menjadi pembangkang yang berwibawa, PN mestilah lebih dulu mampu menampilkan seorang Ketua Pembangkang yang berwibawa.

Siapakah calon berwibawa itu?

Apakah Mahiaddin Md Yasin selaku Pengerusi PN dan bekas Perdana Menteri mampu menjadi Ketua Pembangkang yang berwibawa?

Atau apakah oleh kerana Pas memiliki kerusi Parlimen paling banyak dalam PN, maka Hadi Awang selaku Presiden Pas lebih berwibawa untuk diletakkan sebagai Ketua Pembangkang?

Atau PN perlu memilih calon lain?

Secara rasional, sebenarnya baik Mahiaddin atau Hadi, kedua-duanya tidak layak dan tidak harus diletakkan sebagai Ketua Pembangkang.

Mahiaddin adalah Perdana Menteri yang gagal teruk selama berpeluang memegang kuasa selama 17 bulan sebelum ini.

Kegagalan beliau itu malah masih diperkatakan ramai dan terus menghantui jiwa rakyat Malaysia.

Bagaimana bekas CEO yang terbukti gagal mampu menjadi COO yang berwibawa?

Selain itu, rekod kehadiran Mahiaddin ke Parlimen juga adalah buruk, kerap tidak hadir daripada menghadiri persidangan.

Lebih buruk lagi, Mahiaddin turut tergamak mendaruratkan Parlimen lantaran bimbang undi tidak percaya dikemukakan terhadapnya di ketika penolakan serta kemarahan rakyat terhadapnya sedang memuncak.

Maka, dengan perangai kepimpinan sedemikian, disertai dengan jarang hadir ke Parlimen dan gagal sebagai bekas Perdana Menteri, tentulah beliau paling tak layak menjadi Ketua Pembangkang yang mana jawatan itu sekarang ini telah dinaiktaraf sebagai bertaraf menteri.

Lebih daripada itu, Mahiddin juga bukanlah pembahas yang baik serta cemerlang di Parlimen sepanjang 40 tahun penglibatannya sebagai wakil rakyat.

Jika dilantik sebagai Ketua Pembangkang, prestasi serta wibawa PN tentu lebih merosot dan merudum jadinya.

Begitu juga dengan Hadi Awang, selain prestasi kehadiran yang buruk ke Parlimen, beliau juga bukan pembahas atau pendebat yang baik yang sering meletakkan isi dan fakta sebagai keutamaan dalam berhujah.

Beliau sekadar cemerlang sebagai penceramah di pentas politik atau kuliah sehala semata-mata, itu pun kerapkali tampil beremosi dan rasis dalam hujah-hujahnya.

Lebih membimbangkan, Hadi selalu memberi jawapan yang berlainan daripada isu yang ditanya, baik oleh wartawan atau ketika berforum.

Nanti lagi haru jadinya, lain yang sedang dibahaskan di Parlimen, tapi lain pula yang cuba dihujahkannya.

Makanya, jika Hadi jadi Ketua Pembangkang, selain PN jadi haru, tidak ke mana dan terus merosot wibawanya di mata rakyat, beliau hanya bakal dijadikan bahan ketawa semua saja.

Untuk itu, lebih baik beliau lupakan saja jawatan itu, walaupun jika diperolehi, ia adalah penawar kelukaan yang mujarab selepas kehilangan gaji dan jawatan sebagai duta bertaraf menteri yang dipegangnya selama ini.

Lalu, siapa yang paling munasabah di bawah PN untuk jadi Ketua Pembangkang?

Ada dua calon yang amat sesuai serta tampak lebih berwibawa berbanding Mahiaddin dan Hadi untuk dijadikan Ketua Pembangkang.

Mereka tidak lain ialah sama ada Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Larut dan Setiausaha Agung Bersatu atau Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Kota Bharu merangkap juga Setiausaha Agung Pas.

Mereka berdua inilah pemimpin masa PN yang patut diketengahkan, malah telah berperanan dengan baik di Parlimen dan dalam pelbagai perencanaan politik selama ini.

Baca juga Anwar pengerusi mesyuarat khas Kabinet pertama pagi ini

Baca juga Tak puas hati dilarang beli VR, kanak-kanak 10 tahun tembak ibu sebelum beli mainan secara atas talian