Malaysia Dateline

Mahiaddin, Hamzah ada kuasa pastikan Ahmad Zahid tidak belot terhadap PN

Tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mengekalkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno akan memastikan parti itu terus lemah dan kekal dalam Perikatan Nasional (PN).

Tokoh wartawan, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, Mahiaddin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mampu memastikan Ahmad Zahid tidak mengkhianati PN.

“Mahiaddin dan Hamzah ‘kenal’ siapa Ahmad Zahid dan mereka mempunyai kuasa memastikan dia tidak belot terhadap PN.

“Tengok sajalah macam mana Ahmad Zahid membuat U-turn terhadap sokongannya kepada Anwar Ibrahim akhir tahun lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, Ahmad Zahid buat masa ini menikmati kebebasan daripada cengkaman Mahiaddin dan Hamzah dengan berselindung di sebalik kekuatan kumpulan yang mendesak supaya Parlimen segera dipulihkan.

“Umno adalah antara parti yang paling nyaring mendesak agar Mahiaddin mentaati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu pada 16 Jun lalu.

“Natijahnya, Umno akan terus berpecah belah dan lemah selagi Ahmad Zahid menerajuinya.

“Tetapi usaha menyingkirkannya menjadi lebih rumit kerana dia mendapat perlindungan daripada Mahiaddin,” ujarnya.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Berhad berkenaan juga menyifatkan Mahiaddin dan Hamzah bercita-cita besar menjadikan Bersatu sebagai parti Melayu Islam terulung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Cita-cita mereka sudah separuh berjaya dengan menjadi parti tunjang PN.

“Halal atau haram, sah atau tidak bukanlah pertimbangan utama mereka. Yang penting mereka sudah berjaya menubuhkan kerajaan dan dengan itu boleh melaksanakan ‘scheme of things’ mereka,” katanya.

Abdul Kadir yang juga bekas Penasihat Komunikasi dan Media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menambah permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ditolak juga berkaitan dengan keinginan Bersatu.

“Tidak ada parti politik yang mahu pesaingnya kuat apatah lagi Bersatu yang cita-cita besarnya adalah mengambil alih peranan Umno sebagai parti dominan Melayu-Islam.

“Atas sebab itu jugalah Mahiaddin dan Hamzah mencipta pelbagai alasan untuk tidak mendaftarkan Pejuang dan Muda,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Hamzah yang merupakan Menteri Dalam Negeri pada satu sidang media khas, 2 Februari lalu berkata, permohonan pendaftaran kedua-dua parti itu ditolak kerana gagal mematuhi peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), berkaitan dengan perlembagaan parti.