Malaysia Dateline

Mahiaddin, kluster Umno dijangka buat banyak helah untuk terus berkuasa

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin tidak menolak kemungkinan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan kluster menteri Umno, sedang melakukan ‘perdagangan manusia’ secara besar-besaran melalui ‘scheme of things’.

Beliau berkata, melihat tingkah laku serta tindak-tanduk Mahiaddin dan konco-konconya sejak beberapa minggu ini, tidak memeranjatkan jika mereka akan membuat pelbagai helah untuk terus berkuasa.

“Mereka telah pun mula meratibkan mantera kerajaan minoriti. Kalau mereka sanggup bertegang urat dengan Yang di-Pertuan Agong, mereka tentu sanggup melakukan apa saja untuk menyelamatkan diri.

“Tetapi kalau Mahiadin seorang budiman (berbudi dan beriman) dan tahu yang dia tidak ada majoriti lagi, dia akan meletak jawatan dan memulangkan kembali mandat kepada Dewan Rakyat

“Dengan itu ahli Dewan bolehlah memilih sesiapa yang mereka mahu,” katanya dalam satu respon di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut Kadir berkata, dengan penarikan balik sokongan oleh 11 orang Ahli Dewan Rakyat Umno semalam, adalah mustahil untuk Mahiaddin mengekalkan majoriti misterinya.

Misteri kerana semua pihak tidak pernah tahu berapa ramai ahli Dewan Rakyat yang sebenarnya menyokong Ahli Parlimen Pagoh itu.

Bahkan, bekas penasihat media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu menambah, dari segi hak mencari sokongan ahli Dewan, ‘the front runner’ adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun katanya, Perikatan Nasional (PN) akan cuba juga untuk mengemukakan calon dalam usaha menguji sokongan ahli Dewan.

“Apa-apa pun rakyat jelata pasti akan menaruh harapan yang tinggi terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja untuk memastikan apa yang berlaku dengan pembentukan kerajaan PN tidak berulang lagi.

“Mandat rakyat jelata melalui peti undi wajib dihormati,” tegas Kadir lagi.

Setakat semalam, PN mendapat sokongan Bersatu dengan 31 kerusi Parlimen manakala Pas dan Gabungan Parti Sarawak atau GPS masing-masing 18 kerusi.

Turut masih bersama PN ialah Bebas (4), MCA (2) manakala satu kerusi masing-masing dari MIC, PBRS dan PBS.

Bagi blok pembangkang pula, selain sokongan 12 Ahli Parlimen Umno juga didukung Pakatan Harapan (PH) dengan 89 kerusi iaitu DAP (42 kerusi), PKR (36 kerusi) dan AMANAH (11 kerusi).

Turut berada di blok pembangkang ialah Warisan (lapan kerusi), Pejuang Tanah Air atau Pejuang (empat kerusi) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan dua kerusi.

Sementara itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dari Parlimen Muar dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dari Parlimen Tuaran masing-masing menyumbang satu kerusi kepada blok pembangkang.

Untuk mendapatkan majoriti di Dewan Rakyat, seseorang perlu memiliki sokongan sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen.