Malaysia Dateline

Mahiaddin letak jawatan: Pimpinan tertinggi Bersatu berbincang

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) difahamkan mengadakan pertemuan di ibu negara lewat petang ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli MPT parti, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Saifuddin Abdullah antara yang dilapor kelihatan di perkarangan pejabat parti itu.

Beberapa Ahli Parlimen daripada Bersatu juga dilihat turut berada di lokasi sama.

Untuk rekod, Bersatu mempunyai 31 Ahli Parlimen yang sebelum ini penyumbang terbesar kepada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mesyuarat pimpinan parti itu dikatakan berkaitan dengan perkembangan terkini politik negara susulan peletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Mahiaddin yang merupakan Presiden Bersatu dikatakan akan mempengerusikan perbincangan tersebut.

Terdahulu, MPT Bersatu dilapor mengadakan perbincangan mengenai isu sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu, di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.