Malaysia Dateline

Mahiaddin ‘liat’ terima realiti, lengahkan keperluan keabsahan majoriti

Kedegilan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin menyerlahkan sisi betapa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak menghormati prinsip demokrasi berparlimen, kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Naib Presiden Parti AMANAH itu berpendapat petunjuk terpenting dalam memahami betapa ‘liatnya’ Mahiaddin menerima realiti sudah hilang majoriti apabila sanggup berbohong untuk sekian kalinya kepada rakyat.

Menurutnya, Mahiaddin sebelum ini berbohong mengenai nasihat tentang keperluan darurat Covid-19 yang pada hakikatnya ialah darurat politik.

“Mahiaddin berbohong kepada rakyat Parlimen akan dibuka tetapi hakikatnya apabila dibuka ia hanyalah Penerangan Menteri dan bukan sidang sepatutnya.

“Kini, beliau cuba melengahkan keperluan keabsahan majoriti beliau kepada September, bolehkah kita mempercayainya kali ini?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, istiadat pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 6 September depan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan pada 15 Julai lalu memaklumkan, mesyuarat pertama akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 sehingga 30 September manakala mesyuarat Kedua pula selama 32 hari bermula 25 Oktober sehingga 16 Disember.

Kedegilan Mahiaddin dan Kabinetnya menjerut demokrasi.

Sebelum ini, Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 dijadualkan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.

Walau bagaimanapun, sidang tersebut hanya sempat berlangsung sehingga 29 Julai apabila Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan semua sesi mesyuarat di Parlimen, termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen, ditangguhkan selama dua minggu bagi mencegah perebakan jangkitan Covid-19.

Mengulas lanjut, Dr Mujahid berkata, kemuncak petunjuk kebebalan Mahiaddin dan Kabinetnya ialah meneruskan sikap tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan.

“Dakwaan majoriti dimilikinya kepada Baginda sangat bercanggah dengan fakta di Parlimen bahawa beliau kini hanya tinggal 105 sahaja berbanding blok yang menolak beliau 117.

“Kenyataan Ahmad Zahid dari blok Umno yang menarik diri menyokong kerajaan PN membuktikan hakikat ini,” katanya merujuk penegasan Presiden Umno itu pada 3 Ogos lalu yang menarik sokongan terhadap Mahiaddin.

Sehubungan itu, Dr Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata, rakyat sukar mempercayai bahawa persidangan September depan akan dibuat usul undi percaya kepada Mahiaddin.

“Pengalaman membuktikan Covid-19 boleh sekali lagi selamatkan Mahiaddin untuk membatalkan persidangan bulan September sebagaimana dibuat pada hari terakhir persidangan khas pada hari Isnin 2 Ogos baru-baru ini.

“Melengah-lengahkan perkara penting dalam asas demokrasi berparlimen umpama membunuh demokrasi itu sendiri. Democary delayed, Democary denied!,” katanya lagi.

Menyembunyikan ketakutan

Untuk rekod, PN sudah tidak mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat manakala blok pembangkang kini didukung 117 kerusi Parlimen.

Daripada jumlah kerusi pembangkang itu, 89 kerusi milik PH dan 28 kerusi lagi dari parti-parti pembangkang lain.

Parti memerintah memerlukan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Namun, Dewan Rakyat pada masa ini hanya mempunyai 220 Ahli Parlimen selepas dua daripadanya meninggal dunia.

Mengulas pengakuan Mahiaddin semalam berhubung keperluan melakukan undian di Parlimen untuk keabsahan majoriti yang didakwanya, Dr Mujahid berkata, akhirnya Mahiaddin akur apa yang pembangkang desak dan tegaskan selama ini walaupun lewat untuk memahaminya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat Mahiaddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak dapat menyembunyikan ketakutan terhadap realiti kehilangan majoriti pada masa ini.

“Sebab itu dia melengahkan keperluan untuk undian keabsahan beliau di Parlimen kepada persidangan bulan September nanti.

“Jikalau Mahiaddin yakin dia ada majoriti sekarang sebagaimana disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, pagi 4 Ogos, maka dia perlu berani mengadakan sidang khas tergempar segera untuk tujuan tersebut dan pastinya dakwaan dia hilang majoriti akan terbela secara terhormat,” tambah Dr Mujahid lagi.